Untitled (5)
Untitled (5)

Mahu bantu kawan-kawan yang berdepan masalah kewangan, pelajar UM bangunkan platform e-learning untuk sediakan peluang pekerjaan

Nor Azma  Muhamat Laila
11 Nov 2021 03:03pm
A
A
A

Sejak menyambung pengajian di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (UM) lagi, Mifzal Salihin, 20, sering berdepan situasi di mana rakan-rakannya terpaksa berjimat cermat sehinggakan hanya mampu menjamah makanan sekali sahaja sehari berikutan perlu mendahulukan keperluan asas yang lain.

Terdapat juga pelajar yang terpaksa bekerja pada hujung minggu atau di kafeteria kolej kediaman semata-mata untuk menampung perbelanjaan seharian sedangkan mereka adalah pelajar-pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mampu menyumbang dengan cara yang lebih berkesan kepada masyarakat umumnya.

Bertitik tolak dari situ, pelajar Tahun Kedua, Jurusan Kejuruteraan Mekanikal UM itu membangunkan platform e-learning dan juga “marketplace” yang dikenali dengan Afterkelas.com untuk menghubungkan tutor berpencapaian tinggi dengan pelajar-pelajar sekolah menengah yang mengambil subjek Matematik dan Sains.

Mifzal berkata, matlamat utama platform berkenaan ialah memberi peluang kepada pelajar-pelajar universiti yang mempunyai masalah kewangan untuk bekerja secara sambilan sebagai tutor bagi mendapatkan wang sara hidup semasa pengajian di universiti dengan selamat dan fleksible tanpa menganggu pengajian mereka.

"Platform ini juga bertujuan membantu mengatasi kesukaran pelajar-pelajar yang mengambil subjek Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris untuk mendapatkan khidmat 'tutoring' atau kelas tambahan.

"Selain itu, ia juga bertujuan menjadi sebuah platform bagi tutor-tutor A+ yang ingin menyumbang kepada pembangunan sistem pendidikan dan dalam masa yang sama menyediakan suasana yang kondusif untuk meningkatkan kualiti pembelajaran," katanya.

Mifzal Salihin.

Berkongsi serba sedikit mengenai idea penubuhan platform e-learning itu, pelajar yang berasal dari Bukit Jelutong, Selangor, ini berkata sejak menamatkan SPM, dia memang aktif membuat tuisyen dari rumah ke rumah.

Meraih keputusan 9A+ dalam SPM, 10A dalam Pentaksikan Tingkatan 3 (PT3) dan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), adakala Mifzal turut dijemput untuk menjayakan program motivasi di sekolahnya.

"Apabila dunia dilanda pandemik Covid-19, kerjaya tuisyen rumah ke rumah terpaksa dihentikan tetapi saya tidak mahu berputus asa sebaliknya beralih kepada kaedah dalam talian menerusi laman web yang dibangunkan dan telah dicalonkan untuk menerima anugerah “Malaysia Website Award 2020” bagi kategori komersial.

"Apabila menyambung pengajian ke UM, saya teruskan konsep yang sama untuk memberi peluang kepada rakan-rakan menjana pendapatan sampingan selain menyediakan ruang pembelajaran kepada pelajar-pelajar yang memerlukan guru tuisyen atau kelas tambahan untuk meningkatkan penguasaan mereka terutama dalam subjek Matematik dan Sains," kongsinya.

Kini setelah 10 bulan beroperasi, platform e-learning telah mempunyai lebih daripada 21 orang tutor dan enam pengarang “Coursework Module” yang terdiri daripada pelajar-pelajar UM pelbagai tahun dan latar belakang pengkhususan pengajian.

Sehingga kini, platform berkenaan telah berjaya membantu tutor memperoleh pendapatan sampingan sebanyak RM 200 sehingga RM 1,200 sebulan dan mengajar lebih daripada 1,500 orang pelajar dari seluruh negara sebagai persediaan mereka untuk menghadapi SPM melalui kelas-kelas dalam talian percuma yang telah diadakan ketika cuti semester pengajian.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Lebih menarik lagi, platform yang dibangunkan itu juga berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan yang berprestij peringkat kebangsaan anjuran Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) iaitu “MaGIC Universiti Startup Challenge 2021 Impact Driven Track” yang telah berlangsung selama enam bulan.

Semasa pertandingan tersebut, platform berkenaan telah pun mengadakan kempen dana khalayak umum menerusi PitchIN.com dan telah memperoleh dana sebanyak RM 16,225 iaitu melebihi daripada sasaran awal yang ditetapkan.

Ujar Mifzal, dana yang terkumpul ini akan digunakan untuk inisiatif penyelidikan dan pembangunan yang telah dirancang iaitu untuk mewujudkan sebuah makmal “Digital Lightboard” dan “Hybrid Classroom”.

Mifzal juga berjaya membawa platform e-learning itu disenarai pendek sebagai penerima anugerah “Private Education Entrepreneurs Association of Malaysia (PEEAM) Outstanding Virtual Learning Award 2021” yang akan berlangsung pada bulan Disember ini.

"Saya berharap platform yang dibangunkan ini akan dapat meneruskan kecemerlangan di masa depan dan mampu berdiri sama tinggi bersama syarikat start up yang lain dalam bidang teknologi pendidikan ini seperti Unacademy, Byju dan Ruang Guru seterusnya menjadi sebuah hub pilihan para pelajar untuk kelas-kelas berteraskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dari peringkat sekolah menengah sehingga ke universiti," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok