Keluarga antara faktor dorong individu menjadi pembuli

Iklan
daniel-mingook-kim-cPldoKYQtWY-unsplash

KUALA LUMPUR - Masyarakat perlu proaktif dengan kes buli atau dera dan tidak lagi beranggapan insiden ini sebagai perkara biasa, demikian pandangan Pakar Psikiatri dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017 mendapati, satu dari enam remaja terlibat menjadi mangsa buli dan lelaki lebih banyak terlibat dalam kes sebegini, berbanding wanita.

Iklan

Kes buli juga paling banyak berlaku dalam kalangan pelajar tingkatan satu iaitu 23 peratus dengan bentuk buli paling lazim adalah kecam badan atau body shaming.

Iklan

"Ia perlu dicegah sedari awal bagi mengelakkan kesan yang lebih berterusan, antaranya dengan memperbaiki mekanisme yang sedia ada dalam pelaporan, sokongan dan pencegahan bagi semua jenis buli sama ada menerusi fizikal atau maya.

"Ibu bapa perlu memberi perhatian kepada perubahan emosi anak-anak. Jangan sesekali memperkecil pengalaman mereka sekalipun pada kita ia adalah isu yang remeh," katanya kepada Bernama, sambil menambah, Ibu bapa juga harus menyediakan ruang yang selamat untuk anak-anak berkongsi selain mengenalpasti individu berisiko untuk terlibat dengan gejala buli agar pencegahan dapat dilakukan.

Kesan trauma kepada mangsa

Dr Rozanizam yang juga Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) berkata, perbuatan buli turut memberikan kesan trauma kepada emosi mangsa malah juga kepada si pelaku.

Untuk mangsa, selain fizikal, ia memberi kesan kepada kepercayaan mangsa terhadap orang lain, keyakinan diri dan pembentukan personaliti.

"Bagi kesan jangka pendek, ia boleh memberi kesan kepada gelaja trauma seperti imbasan trauma yang datang secara berulang, gangguan tidur, kemampuan untuk berhadapan dengan orang lain serta kemampuan untuk belajar.

"Untuk jangka masa panjang, mangsa lima kali lebih berisiko untuk mendapat masalah mental seperti kemurungan serta kebimbangan, berbanding remaja yang tidak dibuli. Mangsa lelaki lebih berisiko terlibat dengan kejadian mencederakan diri dan bunuh diri," katanya.

BACA JUGA: Bukan kali pertama, ini 4 kes buli sehingga menyebabkan kematian yang pernah berlaku di Malaysia

BACA JUGA: 7 punca anak-anak jadi pembuli, ibu bapa mesti tahu

Bagi si pembuli pula, mereka turut berisiko mendapat kesan psikologi, terutama sekiranya mereka sudah sedar dengan implikasi perbuatan yang dilakukan.

"Perasaan bersalah dan menyesal boleh menghantui individu yang terlibat sehingga membawa kesan yang berpanjangan," tambahnya.

Banyak faktor dorong perbuatan buli

Banyak faktor yang mendorong perbuatan membuli, antaranya adalah faktor keluarga, rakan sebaya dan psikologi.

Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Fariza Md Sham dalam menjelaskan perkara ini kepada Bernama berkata, faktor psikologi berkait dengan pengalaman atau peristiwa yang pernah dilalui oleh individu tersebut.

"Individu terbabit mungkin pernah dibuli. Maka mereka juga menjadi pembuli kerana menganggap perkara ini biasa dan menyeronokkan. Selain itu, faktor psikologi juga berkait dengan personaliti yang dimiliki oleh individu pembuli seperti sifat agresif, tingkah laku negatif, penghargaan kendiri rendah, gangguan emosi dan sifat membalas dendam," katanya.

Dari sudut keluarga pula, perbuatan membuli juga ada kaitannya dengan gaya keibubapaan atau cara pendidikan yang diterapkan ibu bapa atau keluarga sejak si pembuli kecil.

Menurut Fariza, sekiranya pendidikan awal yang diterima daripada keluarga adalah dalam bentuk kekerasan seperti sering dipukul sejak kecil, maka individu tersebut bila menjelang remaja atau dewasa juga akan cenderung untuk bersifat kasar dan keras seterusnya boleh menjadi pembuli.

BACA JUGA: Remaja terselamat daripada penculikan selepas guna isyarat tangan popular di TikTok

BACA JUGA: Pensyarah Kanan UiTM gesa ibu bapa pantau aktiviti dalam talian anak-anak, cegah sebelum parah

Beliau yang juga pakar Psikologi Dakwah Remaja itu berkata, psikologi remaja adalah rapuh dan disebabkan itu jiwa mereka mudah memberontak.

"Pengalaman serta peristiwa dalam hidup yang dilalui ketika mereka kecil akan mempengaruhi personaliti dan tingkah laku remaja pada masa akan datang. Sekiranya remaja dibesarkan dalam persekitaran yang harmoni, toleransi,kasih sayang dan prihatin, maka remaja akan mempunyai sahsiah dan tingkah laku yang baik dan boleh mengawal emosi.

"Oleh itu pembentukan personaliti dan tingkah laku yang baik sangat penting dibentuk sejak awal kanak-kanak. Pembentukan ini memerlukan persekitaran yang positif. Kita ambil iktibar dari sejarah Rasulullah SAW yang dibesarkan dalam persekitaran yang baik di perkampungan Bani Saad ketika di usia kecil jauh daripada hiruk pikuk kota yang masyarakatnya hidup dalam suasana jahiliah dan kurang baik," katanya.

Kisah Rasulullah ini, kata beliau, menunjukkan untuk perkembangan psikologi, mental dan fizikal, anak-anak memerlukan persekitaran yang baik serta positif agar jiwa yang terbentuk adalah baik, penuh kasih sayang serta saling menghargai.

Pantau aktiviti buli

Ketika ditanya kewajaran program yang berunsurkan buli dihentikan terutama hal yang menghimpunkan antara pelajar senior dan pelajar junior, Fariza berkata, secara umumnya program orientasi atau minggu suai kenal di sekolah atau universiti mempunyai tujuan yang baik, iaitu untuk membantu pelajar baharu mengenali dan membuat penyesuaian diri dalam suasana baharu.

Bagaimanapun, apa yang menjadi isu ialah apabila terdapat sekumpulan atau individu yang menyalahi atau menyimpang dengan melakukan buli kepada pelajar baharu yang di luar atur cara program.

"Ini yang menyebabkan program yang baik tercemar dengan perlakuan individu tertentu sehingga meninggalkan imej buruk terhadap program orientasi atau minggu suaikenal.

BACA JUGA: Hentikan ‘body shaming’ dengan segera!

BACA JUGA: JPN, PDRM Perak tubuh pasukan petugas tangani masalah salah laku, disiplin pelajar

"Oleh itu, bagi mencegah tingkah laku buli berlaku, pihak pengurusan perlu memantau dan mengawal keadaan ini daripada berlaku aktiviti buli dengan mengisi program yang berbentuk mendidik jiwa dan hati sama ada untuk pelajar junior mahu pun pelajar senior, ” katanya.

Menurut beliau, aktiviti yang menjurus ke arah seperti membuli sememangnya dilarang sama sekali, namun terdapat kumpulan pelajar senior yang berlagak samseng dan mengugut pelajar sekiranya tindak-tanduk mereka dilaporkan kepada pihak pengurusan.

"Pihak pengurusan bukan hanya menunggu laporan daripada pelajar, malah perlu mengambil tindakan tegas sejak awal lagi untuk mencegah perbuatan buli serta kewujudan kumpulan pelajar samseng di sekolah atau universiti.

"Saya yakin jika ada tindakan tegas dan pelajar diberi bimbingan rohani dan jiwa serta diisi dengan program yang membina jati diri, Insya-Allah perkara buli dapat ditangani," katanya.

Ruangan sisi

Antara insiden buli yang paling menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia sudah tentunya nasib malang yang menimpa Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Mengulas kes buli Zulfarhan Osman, Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Fariza Md Sham berkata, ia bukan pertama kali kes buli hingga membawa kematian kerana kes sedemikian sudah seringkali didengar sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti.

"Tetapi, sikap kita ialah seperti pepatah Melayu ” sudah terhantuk baru tengadah.”. Dalam apa-apa isu pun inilah sikap pengurusan, ibu bapa dan masyarakat. Apabila ada yang telah cedera teruk atau mati baru hendak ambil tindakan, itu pun bersifat sementara. Setahun kemudian semua lupa dan kes berulang lagi," katanya

Beliau berkata, apa yang menjadi masalah ialah tiada pelan tindakan jangka panjang yang dapat mencegah hal tersebut.

"Tidak dinafikan akta dan undang-undang yang sudah ada kini. Tetapi hukuman itu dibuat setelah berlakunya kejadian tersebut. Apa yang kita mahu adalah satu dasar atau pelan tindakan yang boleh mencegah kumpulan samseng di sekolah dan universiti agar tidak wujud golongan ini di sekolah atau institusi," katanya.

IKUTI GPSBestari di twitter dan instagram

Beliau menyarankan pihak kementerian berkaitan dengan kerjasama pihak universiti, pihak berkuasa agama, ibu bapa serta wakil pelajar dapat bersama dan membincangkan permasalahan tersebut secara holistik bagi merangka Pelan Strategik dan Tindakan Pencegahan Buli sama ada di sekolah, universiti atau di tempat kerja termasuk buli yang dilakukan secara fizikal, emosi, mental, sosial dan terkini buli siber.

Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali selepas mereka didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan Osman.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas lima tertuduh kecuali Mohamad Shobirin serta 12 rakannya selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman. Mangsa meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor, pada 1 Jun 2017.

Selain Zulfarhan Osman, antara kes buli yang turut mendapat liputan meluas adalah kes kematian pelajar T. Nhaveen yang dibuli dan dipukul dengan kejam oleh sekumpulan remaja di Jalan Kaki Bukit, George Town, Pulau Pinang pada 9 Jun 2017 sehingga mati otak selain mengalami kecederaan di bahagian dubur. Remaja itu meninggal dunia setelah lima hari koma di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang.

Selain itu, kes enam pelajar tingkatan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak yang dibuli 10 senior mereka kerana enggan meminjamkan kasut bola turut menarik perhatian umum. Kes berlaku pada 18 Mei 2017 itu berakhir dengan kesemua 10 pelajar senior berumur 15 dan 16 tahun ditamatkan pengajian selepas didapati bersalah. - BERNAMA

Penulis : Balkish Awang, disunting oleh Melati Mohd Ariff(BERNAMA)