pexels-porapak-apichodilok-346734
pexels-porapak-apichodilok-346734

Pensyarah Kanan UiTM gesa ibu bapa pantau aktiviti dalam talian anak-anak, cegah sebelum parah

webadmin
18 Oct 2021 12:18pm
A
A
A

Tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan teknologi komunikasi yang semakin pesat memberikan manfaat kepada masyarakat dunia untuk saling berhubung walau di mana sahaja berada.

Namun, dalam 1,001 manfaat alat komunikasi kepada kehidupan sesorang sehinggakan anak kecil seawal bangku sekolah juga tidak terkecuali, terdapat juga ancaman yang begitu membimbangkan.

Sekiranya disebut komunikasi sexting, ia bukanlah sesuatu ancaman yang baharu malah telah wujud sejak terciptanya teknologi komunikasi teks lagi yang suatu masa dahulu menjadikan e-mel dan sistem pesanan ringkas (SMS) sebagai medium.

Sexting yang wujud dari perkataan “sex” dan “text” adalah satu perlakuan menghantar dan menerima mesej yang mengandungi elemen seksual.

Trend itu kembali menular, malah dianggap lebih berbahaya kepada generasi muda kerana mediumnya kini adalah media sosial dengan improvisasi penggunaan akronim bagi mengelak daripada diketahui penjaga khususnya ibu bapa.

Sexting dalam bentuk mesej teks telah membawa kepada kewujudan perkataan akronim atau dikenali sebagai kod rahsia dan ini amat membimbangkan.

Tular di media sosial baru-baru ini akronim seperti WTTP yang membawa maksud Want to Trade Pictures?, TDTM (Talk Dirty to Me), P911 (Parent alert) dan lebih berani GNOC (Get Naked on Camera) adalah antara daripada puluhan akronim berunsurkan seksual.

Kemunculan pelbagai aplikasi media sosial untuk tujuan berkomunikasi memberi ruang yang lebih luas kepada para pengguna untuk terlibat dengan komunikasi terlarang ini.

Menjadi ibu bapa dalam era moden hari ini haruslah sentiasa peka dengan penularan budaya tidak sihat ini dengan tidak memberikan kebebasan penuh kepada anak-anak menggunakan alatan komunikasi dan sentiasa memantau aplikasi yang digunakan.

Ini kerana antara faktor yang mudah terjebaknya kepada komunikasi sexting ini adalah kerana penggunaan peranti mudah alih secara bebas dan meluas.

Selain itu, karakteristik aplikasi media sosial yang ditawarkan secara percuma di telefon pintar turut memudahkan anak-anak remaja untuk mengakses dan mencipta kandungan berunsur seksual.

Apabila sudah terjebak, ia boleh membawa kepada ketagihan tanpa mereka menyedari implikasi negatif yang menanti.

Remaja adalah satu fasa peralihan dari alam kanak-kanak kepada dewasa dan fasa ini adalah rapuh dan sangat mudah terpengaruh, tidak jelas membezakan baik dan buruk serta tidak fikirkan kesan hasil daripada sesuatu perbuatan.

Bermula dengan komunikasi sexting dalam media sosial dikhuatiri membawa kepada perlakuan sebenar di dunia nyata dan seterusnya membuka ruang kepada perlakuan berisiko seperti buli siber, peras ugut, hubungan seksual tanpa nikah, tekanan perasaan dan sebagainya.

Justeru, selaku ibu bapa, mainlah peranan penting dalam memantau aktiviti dalam talian anak-anak, dan jika ada bukti mereka terlibat dengan aktiviti sexting ini, jangan terus menghukum, sebaliknya gunalah pendekatan paling berhemah.

Berkomunikasi dan jelaskan kepada mereka tentang bahayanya perlakuan ini dan apa kesan buruknya kepada mereka di kemudian hari.

Mencegah itu adalah lebih baik daripada merawat, didik anak-anak berkaitan aktiviti dalam talian dan patuhi had batas umur penggunaan media sosial.

Maklumat Penulis: 

Siti Nasarah Ismail merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Kampus Rembau, Negeri Sembilan.

Artikel berkaitan 

Peranan pengajar dalam komunikasi pembelajaran secara dalam talian

e-Pembelajaran Servis (e-PS) rancakkan agenda Keluarga Malaysia

“Tanpa mereka, mana mungkin saya dinobatkan sebagai penerima Guru Cemerlang Pendidikan Khas”- Cikgu Kumaresan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan