Bila tamat sahaja persekolahan Tingkatan Lima dan selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ramai pelajar tidak memikirkan untuk menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam.
Ini kerana stigma mereka Tingkatan Enam adalah satu pengajian yang low class, di samping mereka juga tidak lagi mahu memakai pakaian seragam sekolah.
Apa yang mereka inginkan ialah gaya hidup serta persekitaran kolej yang nampak gah dan lebih bergaya.
Menurut guru subjek Pengajian Perniagaan Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS), Ipoh, Shahrul Hisham Sabri, Tingkatan Enam adalah pilihan terakhir para pelajar lepasan SPM walaupun pengajiannya adalah percuma, diiktiraf dan juga merupakan persediaan sebelum melangkah ke peringkat ijazah.
[caption id="attachment_29623" width="400"] Cikgu Shahrul Hisham Sabri[/caption]
Katanya lagi, pelajar-pelajar juga sering mengatakan pengajian Tingkatan Enam agak sukar dan susah untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang kerana sudah tertanam di minda masing-masing, ‘Tingkatan Enam susah hendak skor’.
"Stigma begini juga harus dikikis dari minda pelajar kerana sistem pengajian Tingkatan Enam kini adalah berkonsepkan semester, tidak lagi seperti sebelum ini.
"Sebab itulah, Kementerian Pendidikan telah melakukan penjenamaan semula dengan menubuhkan Kolej Tingkatan Enam yang hanya menempatkan pelajar-pelajar Tingkatan Enam bagi menjadikan suasana pembelajaran lebih mirip pengajian di kampus,” ujarnya.
Tambah Cikgu Shahrul Hisham, pelajar cemerlang adalah pelajar yang memberi tumpuan dan mempunyai matlamat dalam pembelajaran.
Baginya, pelajar yang kurang cemerlang hanya menjadikan Tingkatan Enam sebagai medan untuk menghabiskan alam persekolah.
Pada masa yang sama, beritahunya, jenis sekolah turut mempengaruhi keputusan peperiksaan, jadi dia menasihatkan para pelajar agar buatlah pilihan yang bijak, pilih gabungan subjek yang sesuai dengan kemampuan diri dan pastinya sekolah yang mempunyai prestasi yang bagus.
Yang penting, ini bukan masanya untuk ‘ikut kawan’ kerana dalam mengejar kecemerlangan, kemampuan dan matlamat diri diutamakan. Tepuk dada tanya selera.
Untuk itu, kali ini GPSBestari tampil dengan tip-tip bagaimana dengan mudah untuk anda skor subjek-subjek Tingkatan Enam yang dikongsi oleh Cikgu Shahrul Hisham.
- Pembelajaran dalam bentuk semester
Pengujian dan peperiksaan hanya bertumpukan pada semester semasa. Pelajar akan belajar untuk semester itu kemudian ambil peperiksaan. Tidak seperti SPM yang mengkehendaki anda mengulangkaji semua topik semasa di Tingkatan Empat dan Lima.
- Nisbah guru dan pelajar adalah lebih kecil
Jika diperhatikan, nisbah adalah lebih kecil antara pelajar dan guru, maka peluang ini boleh digunakan sebaik mungkin oleh pelajar untuk menimba ilmu.
- Sesi pengajaran dan pembelajaran masih sama
Seperti sekolah harian biasa pengajian Tingkatan Enam tiada bezanya. Bermula awal pagi dan habis sekitar pukul 2 petang.
- Bimbingan berterusan daripada guru
Disebabkan masih terikat dengan sesi persekolahan biasa, peluang untuk mendapatkan bimbingan bersemuka lebih luas berbanding di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Guru akan lakukan yang terbaik untuk memastikan pelajar itu cemerlang.
- Sistem pointer
Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) merupakan salah satu sistem prauniversiti untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Cara pengiraan pointer ini memberi kelebihan kepada pelajar untuk skor dan mendapatkan ‘mata’ yang tinggi bagi setiap semester. Sekiranya pelajar gagal atau tidak berpuas hati dengan keputusan, mereka boleh mengambil peperiksaan ulangan pada semester hadapan tanpa perlu menunggu lama. Ini memberi peluang kepada mereka untuk perbaiki pointer mereka.
- Kerja Kursus
Melalui sistem pembelajaran Tingkatan Enam yang baharu, dengan adanya kerja kursus ini akan banyak membantu pelajar. Seperti konsep penilaian berasaskan sekolah, kerja kursus ini boleh dilakukan oleh pelajar dengan sebaik mungkin sebelum diberi gred yang selayaknya oleh para guru. Markah kerja kursus dianggap markah tambahan untuk pelajar bagi subjek itu. Jadi, pelajar boleh melakukan yang terbaik bagi mendapatkan keputusan cemerlang dengan bimbingan berterusan oleh guru.
- Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar
Bagi sesetengah pelajar, pilihan ke Tingkatan Enam adalah disebabkan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar. Ini juga merupakan satu kelebihan bagi pelajar.
- Azam
Sebagai seorang pelajar, anda boleh skor subjek STPM ini apabila mempunyai iltizam dan daya saing yang tinggi. Selain kelebihan nisbah guru, pelajar juga mesti mempunyai semangat ingin berjaya. Mentaliti semasa di peringkat SPM perlu dikikis, bersedia setiap aspek dalam menjalani perjalanan sebagai pelajar prauniversiti ataupun Tingkatan Enam.
- Teknologi
Kepesatan teknologi maklumat hari ini menjadi aset penting bagi meneruskan pengajian Tingkatan Enam. Dengan segala-galanya di hujung jari, pelbagai bahan pembelajaran boleh diperolehi. Pucuk pangkalnya adalah kerajinan anda menjadikan medium ini untuk menggali ilmu. Selain terdapat jutaan artikel yang berkaitan, media sosial seperti kumpulan telegram juga menjadi pemangkin dalam membantu pelajar mendapat bahan pembelajaran.
- Fokus
Tumpuan penuh terhadap sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sewaktu pandemik, dan juga sesi bersemuka, merupakan antara rahsia kejayaan pelajar cemerlang STPM. Tiada istilah main-main dalam belajar dan pelajar jangan ambil mudah bagi memastikan penguasaan dan kefahaman dalam setiap subjek yang dipelajari.