Produk inovasi Rosea Lip Balm hasil ciptaan Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup Berhad dari Bagan Datuk membuktikan tiada jurang ketara dalam pendidikan serta keupayaan sekolah luar bandar berbanding sekolah di kawasan bandar.
Produk berasaskan bahan semula jadi itu dinobat sebagai johan Pertandingan Asas Keusahawanan Anak Remaja (AKAR) dan Asas Keusahawanan Koperasi (AKSI) Peringkat Negeri Perak 2025 sekali gus melayakkan pasukan tersebut mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.
Guru Pembimbing Koperasi SMK Rungkup, Nor Hafizah Mohamed Jubi berkata, kemenangan itu membuktikan keberkesanan usaha memperkasa generasi muda melalui platform koperasi dan pendidikan keusahawanan.
"Alhamdulillah, usaha kami akhirnya berhasil. Kami sebenarnya tidak menyangka akan menjadi johan peringkat negeri serta layak mewakili Perak ke peringkat kebangsaan.
"Kejayaan ini tidak akan diraih tanpa komitmen terbaik daripada pelajar, guru, pentadbir sekolah serta Ahli Lembaga Koperasi," katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan pertandingan yang diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak baru-baru ini.
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Nor Hafizah berkata, pihak koperasi memilih untuk menghasilkan produk kosmetik semula jadi kerana ia kini mendapat permintaan tinggi dan daripada situ terhasillah Rosea Lip Balm.
Jelasnya, Rosea Lip Balm dihasilkan daripada ekstrak tumbuhan roselle dan mula dibangunkan pada Mei lalu, hasil kajian tindakan dalam kelas yang dijalankan oleh kumpulan pelajar bimbingannya.
"Kajian kami mendapati pelajar sering mengalami masalah bibir kering, kami hasilkan produk semula jadi yang sesuai digunakan oleh semua golongan.
"Kini kami sudah memperkenalkan tiga variasi warna untuk wanita dan versi tanpa warna untuk lelaki," katanya.
Beliau berkata, produk tersebut melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama tiga bulan sebelum dilancarkan dengan label dan pembungkusan baharu pada Ogos lalu.
Setakat ini, Rosea Lip Balm dipasarkan dalam komuniti tempatan dengan lebih 180 unit terjual dan hampir 400 unit telah dikeluarkan sekali gus menjana hasil jualan antara RM2,000 hingga RM3,000.
Menurut Nor Hafizah, kewujudan koperasi di sekolah merupakan peluang kepada pelajar untuk mempelajari aspek pemasaran dan pengurusan perniagaan sebenar selain menimba pengalaman tentang nilai kerja keras dan daya saing.
Pasukan projek yang dibarisi empat guru dan enam pelajar turut memenangi kategori Persembahan Terbaik pada pertandingan itu.
Koperasi SMK Rungkup Berhad yang ditubuhkan sejak 2002 kini giat memperkukuh strategi pemasaran dan inovasi dengan penglibatan pelajar selaras dengan aspirasi di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 khususnya Flagship Kelima iaitu Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.
Produk tersebut akan mewakili Perak ke peringkat kebangsaan pada 24 hingga 26 Oktober ini di Putrajaya, pasukan itu kini giat menambah baik aspek persembahan dan reruai pameran.