Sejak daripada kejadian banjir yang berlaku di negara ini, nama Abang Azwan tidak lagi asing dengan rakyat Malaysia.
Ramai sudah tahu bagaimana Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Viva’ telah membantu mangsa-mangsa banjir.
Kisahnya telah menyuntik semangat pelbagai pihak dan juga individu untuk turut bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terkesan dengan banjir.
Perjalanan yang dihadapi mampu dijadikan teladan kepada semua pelajar mahupun golongan muda di negara ini.
1. Ikhlas
Tidak semua yang menghulurkan bantuan mempunyai tahap keikhlasan yang tinggi. Azwan berkata usahanya ikhlas untuk menolong dan tidak harapkan apa-apa balasan. Keberanian Azwan telah mendapat perhatian ramai dan ramai yang ingin membantunya dari segi kewangan dan kelengkapan. Namun, dia berkata jika terdapat golongan yang ingin menderma kepadanya, dia akan salurkan derma tersebut kepada golongan yang lebih memerlukan terutamanya mangsa banjir.
Niat yang betul adalah penting supaya kita tahu tujuan asal dan sebenar kita ketika hendak melakukan sesuatu. Jadi, pelajar boleh mencontohi sifat ikhlas apabila belajar dengan mencari keredhaan ALLAH dan pada masa yang sama tidak mengharapkan balasan dari segi nama, kekayaan dan pangkat.
2. Cepat membuat keputusan
Dia tidak memerlukan masa yang lama sebelum membuat keputusan untuk ke Shah Alam dari Melaka untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Dia juga tidak perlu tunggu keesokan harinya untuk ke Shah Alam.
Menurutnya, dia mendapat tahu kejadian banjir di media sosial. Dia pun terus mendapatkan kelengkapan bantuan seperti bot dan enjin. Kemudiannya bergegas ke lokasi banjir.
Dia selesa bergerak sendiri kerana senang dan mudah untuk ke mana mana atau membuat keputusan.
Kebolehan seseorang untuk melakukan keputusan dengan cepat boleh dikatakan keupayaan paling penting untuk perniagaan hari ini. Selain itu, pelajar juga seharusnya cepat dalam membuat keputusan agar segala tugasan dapat disiapkan dalam tempoh yang diberikan.
Keupayaan ini turut membentuk ciri-ciri kepimpinan yang baik kerana setiap pemimpin yang bagus perlu membuat keputusan yang cepat setelah mengambil kira faktor-faktor lain.
3. Tidak berputus asa
Kecekalan dan ketabahan yang dihadapi oleh Azwan telah menyentuh hati ramai pihak. Banjir yang tinggi juga keadaan kurang cahaya ketika malam tidak langsung mematahkan semangat Azwan.
Semangat tidak berputus asa boleh dicontohi oleh pelajar yang kini kebanyakannya sedang menjalani Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR). Kesukaran pelajar untuk menjalani PdPR tidak boleh dinafikan.
Walau bagaimanapun, kejayaan datang dengan usaha yang berterusan. Tiada kejayaan yang dicapai hanya dalam satu malam. Tiada rahsia lain untuk mencapai kejayaan selain belajar secara konsisten, jangan mudah putus asa kerana kejayaan tidak datang bergolek.
4. Bersederhana
Hanya berbekalkan sebuah kereta ‘Viva’, RM 50 dan bot, Azwan terus ke Shah Alam untuk membantu mangsa banjir. Di sini kita boleh lihat bagaimana dengan hanya bersederhana, tidak menjadi satu alasan bagi Azwan untuk tidak menghulurkan bantuan.
Tidak semestinya anda perlu mempunyai sebuah bot dan enjin supaya boleh membantu mereka yang sedang kesusahan. Lihat di sekeliling anda dan gunakan kemudahan yang ada.
Sama juga seperti seorang pelajar, tidak semestinya pelajar harus mempunyai kelengkapan yang terkini dan canggih untuk memperoleh kejayaan. Sifat bersyukur perlu diterapkan agar kita tidak perlu tunggu untuk kaya atau pun mempunyai pangkat yang tinggi untuk berjaya dalam pelajaran
5. Berani
Sebenarnya untuk misi menyelamat menggunakan bot, ini adalah yang pertama kali bagi Azwan. Lokasi adalah di Puchong sebelum ke Sri Muda, Shah Alam. Dia bergerak berdasarkan informasi yang diterimanya oleh orang ramai.
Keberanian dari segi fizikal dan mental Azwan harus dipuji. Tidak ramai yang sanggup untuk meredah kawasan banjir berseorangan diri lebih-lebih lagi apabila nyawa sendiri terancam. Pelajar juga boleh menerapkan sifat berani dengan yakin dengan kemampuan diri untuk menyuarakan pendapat. Selain itu, pelajar juga harus berani mengambil risiko dan cabaran baharu demi kejayaan yang mendatang.
Sinar Bestari berharap ramai pelajar dan golongan muda akan mengambil pengajaran dan teladan terhadap kisah Azwan. Seterusnya, ramai lagi individu seperti Azwan dapat dilahirkan.
Artikel berkaitan
UMT gerak skuad banjir, agih sumbangan RM22,400
100 pelajar IPG hulur bantuan kepada mangsa banjir di Selangor
Negara-negara di dunia yang anda jarang dengar, ini sebahagiannya