Penggunaan gajet seperti komputer riba atau laptop, tablet pc dan telefon pintar bagaikan satu kepentingan pada masa kini.
Ini kerana, gajet-gajet ini digunakan semua orang termasuklah guru dan pelajar yang menggunakan sepenuhnya untuk proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Namun begitu, kesemua gajet ini terutamanya komputer riba perlu dijaga dengan baik bagi penggunaan jangka masa panjang.
Sekiranya ia dijaga dan diselenggara dengan baik tidak mustahil gajet yang dibeli ketika berada di sekolah rendah atau menengah boleh diguna pakai sehingga pelajar itu melanjutkan pengajian ke universiti.
Bagaimana pula sekiranya gajet ini mengalami kerosakan teruk akibat bencana banjir?
Adakah ia masih boleh dibaiki atau perlu dibuang begitu sahaja?
GPSBestari senaraikan beberapa tip untuk pengguna menyelamatkan gajet seperti komputer daripada terus rosak. Ikuti tip di bawah.
1) Bertindak pantas kepada cakera keras komputer yang terkena air.
Segera keluarkan cakera keras daripada komputer. Semakin lama cakera keras ditenggelami air, bahagian cakera yang kering boleh rosak. Jika cakera keras dihidupkan, matikan ia dengan serta-merta.
2) Jangan cuba pasang cakera keras
Dilarang sama sekali memasang atau menghidupkan cakera keras untuk melihat sama ada ia masih berfungsi atau tidak. Tindakan pemasangan dan menghidupkannya boleh memburukkan lagi keadaan.
Memasang cakera keras yang rosak disebabkan air bukan sahaja boleh menyebabkan kerosakan berlarutan pada cakera tersebut tetapi juga pada komputer anda atau peranti lain.
Jika cakera keras rosak akibat air dan dihidupkan, adalah mustahil untuk anda mendapatkan semula semua data.
Seterusnya, jangan keringkan cakera keras dengan pengering rambut atau di bawah sinaran matahari. Ini kerana haba yang berlebihan boleh merosakkan cakera dengan lebih teruk.
3) Bilas perlahan-lahan dengan air bersih kemudian simpan di dalam beg ziploc.
Bilas cakera keras secara perlahan-lahan dengan air bersih. Kemudian simpan dalam beg ziploc atau bekas lain yang tertutup untuk memastikan ia tidak kering. Tindakan pertama anda mungkin untuk mengeringkan cakera keras, tetapi sebenarnya yang terbaik adalah membiarkannya basah.
Baca juga Mahasiswa UPM anjur kempen infaq untuk anak-anak istimewa dan autisme
4) Berikan cakera keras kepada pakar pemulihan data
Bukan semua pakar mampu mengendalikan pemulihan data dan bukan setiap kedai membaik pulih komputer mempunyai peralatan atau bilik bersih yang akan memberikan hasil yang terbaik.
Anda disarankan membawa cakera keras yang rosak akibat air kepada pakar pemulihan data.
Jika berkesempatan, hantar cakera keras dalam masa 24 jam. Ini boleh mengurangkan risiko komponen cakera keras rosak.
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
Bagi komputer riba yang terkena air hujan pula, jangan sesekali cuba untuk menghidupkannya bagi memastikan ia masih berfungsi atau tidak.
Apabila anda lakukan juga semasa masih dalam keadaan basah, ia akan membuat peranti tersebut mengalami konsleting elektrik.
Untuk menggelakkan komputer riba daripada rosak, mohon pengguna ikuti langkah ini.
- Keluarkan atau cabut bateri agar tiada aliran elektrik.
- Cabut semua peranti yang bersambung pada komputer riba seperti tetikus, speaker dan sebagainya.
- Gunakan kain lembut atau pembersih vakum dengan penyedut kecil untuk menyedut cecair terutama pada lubang sambungan kuasa, port usb dan lain-lain.
- Terbalikkan komputer riba dengan kedudukan papan kekunci berada di bawah serta letakkan kain tebal atau tuala yang dapat menyerap air dengan efektif dan cepat di atas tempat berkenaan.
- Gunakan kapas atau kain lembut untuk mengeringkan di kawasan yang agak sukar seperti mainboard/motherboard.
- Dalam keadaan komputer riba yang terbuka, keringkan dengan cara lap, angin-anginkan atau kipaskan menggunakan surat khabar bagi membantu mempercepatkan proses pengeringan.
- Setelah pasti komputer riba sudah kering, pasang semula komponen yang dipisahkan tadi dengan kemas dan dalam keadaan yang baik kemudian nyalakan (on) seperti biasa.