270109672_5280162878680121_1600456512412247694_n
270109672_5280162878680121_1600456512412247694_n

“Buat yang sedang diuji, yakinlah bahawa ALLAH sedang mengangkat darjat kalian di sisi-Nya” - Cikgu Normujaidah

Roshlawaty Md Raieh
03 Jan 2022 03:44pm
A
A
A

Tragedi bencana banjir yang berlaku di beberapa daerah di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka baru-baru ini telah meninggalkan 1001 kisah duka kepada mangsa banjir.

Mereka pastinya trauma, takut dan mungkin ada sesetengahnya memilih untuk menyendiri lantaran kawasan yang didiami bersama keluarga ditenggelami air dalam sekelip mata hingga hilang segala-galanya.

Bagi guru dan pelajar yang terlibat dengan musibah ini, episod sedih ini tentunya memberi kesan yang sangat besar buat mereka. Sudahlah rumah dinaiki air, di sekolah juga rosak teruk selepas ditenggelami air akibat banjir besar minggu lepas.

ALLAH...Hanya kepadanya kita berserah.

Seorang guru, Cikgu Normujaidah Osman dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Damai, Kuantan, Pahang, turut terkesan dengan situasi banjir besar yang melanda baru-baru ini.

Beliau sempat berkongsi sedikit kata-kata semangat untuk mereka yang terlibat menerusi telegram Nota Bahagia Dan Kaya Jiwa Normujaidah Osman.

“Kalian semua yang sedang teruji, yakinlah bahawa ALLAH sedang mengangkat darjat kalian di sisi-Nya. Didoakan syurga Firdaus tanpa azab dan tanpa hisab buat kalian semua serta para petugas dan sukarelawan yang sedaya mungkin sudah berusaha. ALLAH ada bersama kita. Sentiasa.

“Jika harga sebuah syurga itu ialah nyawa, kita berusaha untuk reda dan terima. Jika harganya berupa harta dunia, kita juga perlu bersedia memulangkan semula pinjaman daripada-Nya. Jika nilaiannya pengorbanan wang ringgit untuk membantu saudara kita yang sedang ditimpa musibah dan bencana, bersedialah kita untuk turut serta. Kerana syurga itu bukan percuma!,” katanya.

Sementara itu, SMK Seri Damai yang turut dilanda banjir besar telah mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda yang ada di sekolah tersebut.

“Sedih hingga sukar nak digambarkan. Namun, sebagai hamba ALLAH, kita mesti reda,” ujar Cikgu Normujaidah.

Mari ikuti perkongsian guru ini mengenai keadaan SMK Seri Damai ketika tragedi banjir besar.

Semoga catatan ini memberi manfaat dan kekuatan hati kepada semua pembaca. Insya-ALLAH

*****

23 Disember 2021 (6.06 petang)

Bersama-sama kesusahan ada kesenangan.

Itu janji ALLAH dalam surah Al-Insyirah.

Hari ini, saya menyaksikan pembuktian janji ALLAH tersebut.

Sekolah kami terletak di sebelah Sungai Belat.

Banjir kali ini luar biasa impaknya.

Lebih hebat berbanding 2014.

Air naik separas leher orang dewasa.

Kawasan padang dan dewan lebih tinggi lagi.

Penuh lumpur di merata tempat.

Barangan dan perabot yang sudah disusun tinggi sebelum sekolah mula bercuti, habis jatuh bertebaran dilantai serta musnah.

Stok koperasi bernilai ribuan ringgit, hampir separuh daripadanya tidak lagi boleh diguna.

Hampir semua meja dan kerusi kantin hanyut dibawa air yang sangat deras.

Jika kami para guru mahu membersih sekolah, barangkali makan masa berminggu-minggu.

Entah bila sekolah boleh dibuka.

Tapi hari ini ALLAH hadirkan 40 warga ATM untuk membantu mencuci sekolah kami.

Alhamdulillah, thumma alhamdulillah.

Sungguh kami sangat bersyukur.

“Tak boleh siap satu hari ni, cikgu. Paling kurang tiga hari.”

Itu kata pimpinan mereka.

"Insya-ALLAH, esok kami datang lagi."

Masya-Allah. Tabarakallah.

Begitulah betapa ALLAH menyediakan jalan dan mempermudah.

Dengan tenaga dan kepakaran yang mereka ada, sekejap saja semua bilik dikosongkan untuk dicuci.

Riuh rendah bunyi suara dan gelak ketawa mereka meskipun mereka sebenarnya sedang kepenatan.

Saya menyaksikan betapa mereka bahagia bila dapat memberi bakti.

Sungguh. Ini rezeki besar yang sangat kami syukuri.

Terima kasih warga ATM yang senantiasa bersedia untuk menabur budi.

Moga keikhlasan ini jadi asbab kalian mampu membeli syurga.

Tidak terbalas jasa kami buat kalian semua.

Kalau pun ada sedikit cara, kami berusaha memastikan perut kalian sedikit terisi dengan makanan hasil tajaan bersama ketika kalian bertungkus lumus membantu kami.

Sungguh, bila diuji dan kita boleh belajar mensyukuri lalu berusaha untuk sama memberi, itulah nikmat besar dari Ilahi.

23 Disember 2021 (9.09 malam)

Baru siap keluarkan perabot yang berlumpur untuk mudahkan urusan cuci kelas.

Esok baru boleh fokus bersihkan kerusi meja ini semua.

Alhamdulillah, malam ini, ALLAH hantar hujan untuk mudahkan urusan.

Maha baiknya ALLAH.

Inna maal usri yusra.

Bukan sekali ALLAH bagi kemudahan dalam ujian ini.

Berkali-kali, tanpa henti.

Maka bukankah lebih patut untuk kami jadi orang yang bersyukur?

Mudah-mudahan, dengan syukur ni ALLAH tambah lagi kenikmatan dalam ujian.

24 Disember 2021 (8.17 malam)

Inilah rupa meja mesyuarat kami.

Alhamdulillah ala kulli hal.

Sebagai pegawai aset, insya-ALLAH saya usahakan untuk mohon perabot baharu.

Mana tahu ada rezeki kami.

Kalau belum dapat pun tak apa.

Kita mesyuarat sambil bersila dan bersimpuh dulu ya cikgu-cikgu.

Best jugakan?

Sambil mengimbau kenangan zaman dulu- dulu.

26 Disember 2021 (4.54 petang)

Beginilah rupa pemadam api sekolah kami setelah sekolah dilanda banjir pada 18 Disember yang lalu.

Ini pun sebahagiannya pemadam api lama. Tong warna biru itu, tidak wujud dah di zaman ni.

Dah tidak boleh diselenggara. Melebihi tempoh 10 tahun.

Sudah hantar permohonan untuk pelupusan tapi belum dapat kelulusan.

Alhamdulillah. Tahun 2020, dapat peruntukan penyelenggaraan. Tapi sedikit saja yang boleh berfungsi sebab usia tong belum 10 tahun.

Tahun 2021 dapat juga. Sekarang yang tinggal cuma lima buah.

Bayangkan tuan dan cik puan.

Lima buah pemadam api yang boleh digunakan untuk sebuah sekolah besar yang melebihi 800 orang murid!

Tahun depan tong itu sudah tidak boleh lagi diselenggara.

Maknanya nak kena beli baru.

Hari itu, saya tanya pekerja syarikat yang datang buat penyelenggaraan. Katanya sebuah RM170. Rasanya ini harga kalau guna local order.

Hmmm...termenung jugalah saya.

Kalau nak dibeli 30 - 40 buah untuk satu sekolah, mana nak dicari bajetnya.

Mahu tunggu peruntukan daripada jabatan, entah bila sampai ke sekolah kami. Sekolah kat Kuantan ini saja pun bukan sedikit jumlahnya.

Sekolah kami ada hampir 80 buah bilik. Tidak termasuk dewan, kantin dan makmal yang penuh dengan bahan kimia untuk ujikaji.

Ikutkan, kena ada satu pemadam api setiap bilik. Maknanya 80 buah semuanya.

Ada pengetua minta bantuan PIBG baru- baru ini. Tapi, yalah sekolah kampung macam kami, banyak mana sangat dana PIBG yang ada.

Datang pula si air banjir tahun ni.

Lagilah banyak belanja lain mahu diguna.

Tapi, saya mahu berbaik sangka.

ALLAH Ya Barii' itu kan sebaik-baik perencana.

Tidak mungkin apa yang dikirim-Nya ini suatu yang sia-sia.

Pasti ada hikmah besar yang tersembunyi di sebalik ujian ini.

Manalah tahu, asbab dugaan ini, ALLAH Ya Hannan, Ya Mannan, Ya Fattah, Ya Razzak membuka pintu hati kalian yang baik budi mahu membantu kami.

Kepada ALLAH jualah kami berserah dan meminta supaya keselamatan anak-anak kami terus terpelihara. Dia Maha Menjaga.

Kami hanya berusaha sekadar terdaya.

28 Disember 2021 (9.50 pagi)

Alhamdulillah thumma alhamdulillah.

Sesungguhnya ujian banjir ni adalah nikmat besar dari Ilahi.

Kita tidak boleh ubah takdir dan tadbir ALLAH tapi kita boleh ubah persepsi kita terhadap ujian ini.

Sungguh! Hadiah ALLAH mungkin tidak semuanya kelihatan terbungkus indah, tapi isinya, itu lebih utama.

Terima kasih YB Dr Radzi kerana sudi menjenguk kami.

Didoakan rahmat ALLAH terus memayungi kita semua.

***Setelah selesai bergotong-royong di SMK Bentong semalam, kami meneruskan tinjauan pasca banjir di negeri Pahang dengan ke SMK Seri Damai, Kuantan.

SMK Seri Damai yang terletak berhampiran kawasan lembah dinaiki air sehingga hampir dua meter. Ini menyebabkan berlaku kerosakan besar kepada fasiliti dan aset sekolah, terutamanya perabot dan kelengkapan, termasuk di makmal dan kelas pedidikan khas.

Kerja-kerja pembersihan yang dilakukan oleh guru, kakitangan sekolah serta beberapa pihak luar dengan dibantu anggota ATM di sini berjalan lancar. Sehingga semalam, lebih 50 peratus kesan banjir telah dibersihkan.

KPM akan usahakan agar kerja-kerja membaik pulih fasiliti dan penggantian aset yang penting dilakukan segera.

29 Disember 2021

Melihat suasana di sekolah hari ini, hati saya dipagut sayu.

Ujian datang kerana ALLAH sayang.

Ujian datang, sesuai kemampuan.

Lalu, ALLAH mengotakan janjiNya bahawa Dia selalu ada untuk kita.

Bahawa kesusahan datang seiring dengan pelbagai kesenangan.

DikirimNya satu persatu kerahmatan dan kemudahan di sebalik ujian yang diberikan.

Ada yang hadir dalam bentuk doa yang berpanjangan.

Sentiasa saya aminkan, bila kalian menulis di dinding FB saya:

"Didoakan ALLAH mempermudahkan urusan cikgu dan rakan-rakan di sekolah."

Ya, ia kelihatan seperti sebuah peranan kecil.

Tapi, percayalah!

Itulah sumber kekuatan kami untuk terus berusaha mengikhlaskan diri, berkorban waktu libur bersama keluarga untuk mempersiapkan sekolah sebaik yang kami mampu.

ALLAH hadirkan juga tenaga-tenaga perkasa yang mempercepatkan proses kerja.

Lebih 200 orang membanjiri sekolah hari ini untuk turut sama membantu kami meneruskan tugasan mencuci.

Ada wakil TUDM, JKR, JPNP dan PPD.

Wakil komuniti, PIBG dan alumni pun ada sekali.

Malah, YB DUN Pulau Manis pun hadir sama.

Wakil dari Arkib pun ada untuk membantu kami mempercepatkan proses pelupusan khususnya buku teks sekolah.

ALLAH kirimkan juga kalian semua yang baik budi yang tidak henti-henti menaja makan dan minum para petugas selama 10 hari ini.

ALLAH ya ALLAH.

Sumbangan untuk pembelian alat pemadam api juga terus-terusan kami terima.

Tadi pula, sejurus sebelum pulang, saya terdengar bicara pimpinan TUDM untuk anak buahnya :

"Alhamdulillah. Hari ini hampir 80 peratus tugas sudah kita selesaikan. Terima kasih atas komitmen semua. Tapi masih ada sedikit yang berbaki.

“Ada beberapa bilik lagi dan ruang koridor yang perlu dicuci. Jadi kita teruskan lagi aktiviti Jasa Murni ni esok sehingga jam 12 tengah hari. Saya mohon kita semua ikhlaskan diri."

ALLAH ya ALLAH.

Tenang sungguh mendengar bicara sang ketua.

Beliau yang sedari pagi turut sama berpeluh-peluh mengangkat puluhan perabot yang berat-berat ke tapak pelupusan.

Sungguh! Terserlah sifat kepimpinan melalui tauladan.

Apa lagi yang lebih membahagiakan saya?

Nikmat mana lagi yang mahu didusta?

Terima kasih Tuhan, yang mengirimkan ujian.

Terima kasih Tuhan, yang telah mempersiapkan jalan penyelesaian.

Terima kasih Tuhan, kerana menghantar orang baik-baik melingkari kehidupan.

Terima kasih juga buat kalian yang sentiasa bersama kami di saat kami dalam kesusahan.

Sungguh kami bersaksi, kalian telah berusaha membuat perkara yang ALLAH suka.

Didoakan ALLAH memberi pula apa yang kalian suka.

31 Disember 2021

Alhamdulillah.

Petang ini, ada lagi bantuan ALLAH sampai.

Terima kasih warga Angkatan Tentera Darat Malaysia.

Kekuatan hari ini, lebih daripada 20 anggota.

Habis diangkat segala perabot yang berat- berat daripada blok paling hujung untuk dibawa ke hadapan bagi memudahkan lori mengangkut sisa buangan nanti.

Lebih terharu apabila Dato’ Panglima sendiri turut hadir bersama.

"Ini saja yang kami boleh bantu, cikgu. Nak bagi duit kami tak mampu. Kami pinjamkan tenaga je lah. Harapnya sekolah dapat dibuka segera dan anak-anak dapat belajar dengan selesa," ujar Dato’ Panglima.

ALLAH ya ALLAH

Tak mampu kami zahirkan rasa syukur dan terima kasih kami kepada para wira negara ini.

Banyak bebanan kami menjadi ringan sekali.

Jazakumullah khairan kathira.

"Duit tajaan makan ada lagi, Cikgu Nor?," pengetua bertanya saya.

"Ada sikit lagi berbaki."

Lalu tuan pengetua segera memohon izin Dato' Panglima untuk sekali lagi menghantar bantuan anggota.

Alhamdulillah.

Terima kasih yang tidak terhingga juga atas keprihatinan wakil Media Prima yang hadir membuat liputan.

Rakaman penghargaan juga kepada Tuan Pengarah JPNP kerana sudi menjenguk kami di sebelah pagi.

Buat kalian yang telah menaja makanan dan minuman, terima kasih atas segala jasa dan budi.

Beginilah cara kami memanfaatkan setiap sumbangan tuan dan cik puan.

Jika tidak kerana dana ini, tidaklah kami berani meminta bantuan tenaga kerja yang ramai, kerana segan juga kami selaku tuan rumah jika air sebalang atau kuih sepiring pun tidak boleh disedia.

Alhamdulillah thumma alhamdulillah.

Kerja yang mungkin memakan masa berbulan-bulan, segera selesai apabila kita saling memberi dan berkerjasama.

Begitulah bagaimana ALLAH melorongkan kemudahan demi kemudahan bersekali dengan ujian yang diberi.

Terima kasih duhai Rabbul Izzati, yang mengirimkan tribulasi beserta solusi.

Insya-ALLAH, ini menguatkan lagi iman kami untuk terus bersangka baik dengan setiap takdir Ilahi.

Yang kami sangka baik itu sudah tentu baik untuk kami.

Yang kami sangka buruk itu juga sebenarnya baik untuk kami.

Terima kasih juga buat kalian semua, duhai sahabat wangi.

Moga usaha ini jadi saksi buat kalian di akhirat nanti.

Sumber: Telegram Nota Bahagia Dan Kaya Jiwa Normujaidah Osman

Artikel berkaitan 

Teknik ‘flipped learning’ jadi pilihan guru, tidak sabar hendak praktik di sekolah nanti!

Cikgu Azmi tidak betah duduk diam, sanggup lukis mural di dinding STEMZA hingga cecah puluhan karya

6 tip membuat perabot taman yang menarik 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok