Keserasian 'jiwa' handler, jalani latihan 4 jam setiap hari

Iklan
Keakraban handler dan anjing pengesan dapat dipupuk dengan meluangkan masa bersama dalam tempoh yang lama. Foto Sinar Harian/Rosli Talib.

Selama empat jam pada setiap hari, 'hero-hero' menjalani latihan tanpa jemu dalam usaha memantapkan lagi kecergasan dan kecekapan sambil menunggu panggilan kecemasan.

Selama empat jam pada setiap hari, 'hero-hero' menjalani latihan tanpa jemu dalam usaha memantapkan lagi kecergasan dan kecekapan sambil menunggu panggilan kecemasan.

Menempatkan 22 ekor anjing, Unit Pengesan K9 merupakan aset penting Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Iklan
Iklan

Bahkan, keserasian pemegang anjing atau lebih dikenali sebagai handler dan anjing Unit Pengesan K9 JBPM menjadi 'kunci' utama kejayaan apabila berada di lapangan mencari ataupun menyelamat mangsa-mangsa.

Pramnath Hariskisna. Foto Sinar Harian/Rosli Talib.

Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Ketua Latihan, Unit Pengesan K9 JBPM, Pramnath Hariskisna, keserasian diperlukan agak lama kira-kira dua hingga enam bulan.

Iklan

"Dalam melatih anjing-anjing pengesan, terdapat tiga peringkat latihan merangkum latihan asas, pertengahan serta lanjutan dalam unit berkenaan untuk melahirkan handler serta anjing pengesan terbaik.

"Pada peringkat asas, handler dan anjing pengesan akan didedahkan dengan latihan mengikut arahan seperti duduk, baring dan sebagainya. Ia memakan masa dalam tempoh tiga minggu.

Iklan

"Melalui latihan pertengahan pula, para handler dan anjing pengesan akan meningkatkan kemahiran dengan kaedah-kaedah pencarian dan mengimplikasikan teknik sesuai untuk dipraktikkan dalam lapangan operasi kebakaran mahupun menyelamat,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari.

Pramnath menjelaskan, latihan lanjutan merupakan pendedahan kepada simulasi seakan situasi sebenar seperti runtuhan bangunan, kawasan kebakaran, tanah runtuh dan lain-lain agar handler serta anjing berkenaan boleh berhadapan keadaan nyata ketika operasi.

Anjing pengesan akan menjalani latihan simulasi seakan situasi sebenar.Foto Sinar Harian/Rosli Talib.

Beliau memberitahu, lima baka yang terdapat di Unit Pengesan K9 merupakan Labrador Retriever, English Springer Spaniel, Belgian Malinois atau German Shepherd, Border Collie dan English Pointer.

Katanya, anjing-anjing pengesan itu terbahagi kepada empat disiplin iaitu siasatan kebakaran, SAR Cadaver, SAR Wilderness dan Urban Search and Rescue (USAR).

Sementara itu, Pegawai Bomba Tinggi II dan Ketua Pasukan dan Pegawai Operasi Unit Pengesan K9 JBPM, Ravi Perumal memberitahu, melatih anjing-anjing pengesan seperti menjaga 'anak kecil' yang memerlukan belaian kasih sayang.

"Keakraban handler dan anjing pengesan dapat dipupuk dengan meluangkan masa bersama dalam tempoh yang lama.

"Selain itu, terdapat beberapa kriteria perlu dilihat ketika sesi pemilihan anjing-anjing pengesan termasuk ia perlu jinak, mempunyai keupayaan yang tinggi, kecekapan tahap menghidu, mampu bekerja dengan lasak juga lama serta dalam pelbagai keadaan.

Ravi Perumal.Foto Sinar Harian/Rosli Talib.

"Memandangkan anjing-anjing berkenaan diimport, ia perlu menyesuaikan diri dengan keadaan iklim di negara ini,” ujarnya.

Tutur Ravi lagi, anjing-anjing pengesan turut menjalani proses latihan penguraian bau, bersosial dan gangguan bunyi agar dapat menggalas tugas dengan baik.

Katanya, sistem reward ataupun motivasi akan dilaksanakan dalam latihan anjing-anjing pengesan untuk memastikan ia sentiasa ceria serta bertenaga.

Untuk itu, Pramnath dan Ravi tidak lokek berkongsi pengalaman serta tip dalam menjadi handler anjing pengesan yang baik kepada para pembaca.

1.Psikologi

Perlu memiliki kemahiran dalam 'membaca' setiap pergerakan anjing pengesan dari kepala sehingga hujung ekor.

Para handler tidak boleh sesekali terlepas pandang apa yang dilakukan oleh haiwan belaan mereka terutama sewaktu menjalankan operasi SAR.

Pergerakan anjing pengesan dapat memberi isyarat kepada handler-handler jika ia menemui mangsa ataupun mayat di lapangan.

Selain itu, kemahiran psikologi juga amat penting dalam mewujudkan hubungan rapat dan kasih sayang antara handler serta anjing pengesan terbabit.

Dengan menguasai kemahiran psikologi ini, handler-handler juga boleh mengetahui kelemahan-kelemahan yang terdapat pada haiwan berkenaan.

2.Kesabaran

Anjing merupakan makhluk yang hidup malah tiada buku manual untuk melatih haiwan terbabit.

Justeru, ketika menjalani latihan, perlu memiliki tahap kesabaran yang sangat tinggi terutama berdepan situasi anjing seliaan mereka membuat 'perangai'.

Para handler sama sekali tidak boleh memiliki sifat pemarah, baran malah memukul haiwan terbabit kerana ia memerlukan kasih sayang untuk mendengar arahan yang akan diberikan kelak.

3.Kecergasan

Berbanding dengan manusia, anjing memiliki empat kaki dan mempunyai keupayaan berlari dengan pantas.

Bahkan, latihan harian memerlukan handler dan anjing pengesan berjalan minimum sejauh 2.4 kilometer (km).

Bagi memastikan handler dapat mengikut rentak haiwan itu, mereka perlu memiliki stamina yang sangat tinggi apatah lagi apabila menjalankan operasi SAR.

Mereka juga perlu bebas daripada penyakit seperti rabun, asma dan sebagainya untuk memperlicinkan tugasan.

4.Bahasa tangan

Bahasa tangan merupakan antara elemen penting sebagai medium 'komunikasi' bersama anjing pengesan.

Para handler perlu mengetahui bahasa tangan dalam memberi arahan kepada haiwan seliaan mereka terutama ketika melaksanakan operasi SAR.

5.Penjagaan

Sebagai handler, mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap haiwan seliaan termasuk penjagaan dan kesihatan.

Oleh itu, menimba ilmu pengetahuan amat penting dalam memahirkan diri berhubung penjagaan dan kesihatan anjing pengesan.