Dua kumpulan inovasi muda dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Anggerik, Shah Alam, Selangor mencuri tumpuan apabila memenangi pelbagai anugerah dalam pertandingan World Youth STEM Invention Innovation (WYSII) 2025 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Kumpulan Paw-Away Repellent Spray dan PalmFuel Igniter berjaya meraih Anugerah Lima Terbaik (Tempat Kedua), dua pingat emas dan pemenang Anugerah Pilihan Panel sekali gus mengharumkan nama sekolah di peringkat antarabangsa.
Menurut guru pembimbing, Cikgu Hasniza Mustaffa, tahun ini menandakan kejayaan kelapan SK Bandar Anggerik menembusi arena inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Idea-idea inovasi ini lahir daripada isu sebenar di sekolah kami.
"Dengan sokongan beberapa pensyarah Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan bimbingan pakar daripada Dr Sharil Fadli Mohamad Zamri, Dr Sabrina M Yahaya, Norjanah Yuri, Dr Shadatul Hanum Rashid dan Dr Amirah Amalina Ahmad Tarmizi, kami mampu melangkah lebih jauh," jelas beliau.
Berikutan kejayaan ini, Cikgu Hasniza berharap anak-anak didiknya dapat menghasilkan produk inovasi yang memberi impak besar dan kekal lestari untuk masyarakat kelak.
Terdahulu, kumpulan Paw-Away Repellent Spray disertai Nur Zareen Qairina Muhammad Faizal dan Safea Ayuni Sharil Fadli.
Manakala PalmFuel Igniter dianggotai Irene Adra Muhammad Iman, Nurul Aisyah Hafiz dan Adra Zahraa Tajul Akhmal.