Kejayaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kinrara di World Youth STEM Invention and Innovation 2026, Bangkok, Thailand, baru-baru ini membuktikan bahawa murid Malaysia mempunyai daya saing tinggi di peringkat antarabangsa.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, kejayaan merangkul Gold Award, Panel Choice Award dan pengiktirafan lima teratas bagi kategori Environmental and Sustainability bukan sahaja menunjukkan kebolehan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), malah mencerminkan tahap disiplin, ketekunan serta keyakinan diri yang tinggi.
Beliau menegaskan penyertaan di pentas antarabangsa memerlukan persediaan rapi, keberanian dan keyakinan yang kukuh serta kesemua pelajar terbabit telah membuktikan mereka memiliki semua kualiti itu dengan cemerlang.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian Aarthisha Thiban, Aatheesha Moorthy, Keshwine Elattachan, Arvin Kumar dan Puraarni Vivegan yang telah mengharumkan nama sekolah, bangsa dan negara.
"Saya akan menjemput mereka bertemu dalam masa terdekat untuk mendengar kisah kejayaan dan pengalaman mereka menghadapi cabaran di pentas dunia,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata lagi, kejayaan itu adalah hasil sokongan padu guru dan ibu bapa dalam memperkasakan bakat dan potensi generasi muda.
“Inilah bukti bahawa pelaburan Kerajaan Madani dalam pendidikan dan STEM akan terus menjadi pemacu pembangunan negara.
"Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk lebih banyak inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara, selaras aspirasi kita melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya cipta tinggi,” katanya.