Sumbangan bantuan dalam pendidikan merupakan salah satu strategi yang penting bagi mengubah kehidupan masyarakat dan negara ke arah yang lebih baik.
Bantuan yang diberikan kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan B40 khususnya boleh membantu untuk menjadikan kehidupan mereka lebih baik dengan meringankan beban yang ditanggung.
Menyedari tanggungjawab untuk membantu golongan yang memerlukan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) meneruskan inisiatif mereka membantu pelajar Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) yang kurang berkemampuan.
Seramai 100 pelajar dari keluarga B40 telah diberikan Bantuan Awal Pengajian (BAP) sebanyak RM1,000 seorang bagi meneruskan pengajian masing-masing.
Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, pihaknya terus mencari peluang untuk membantu mereka yang memerlukan bagi memudahkan urusan pengajian mereka.
Tambah beliau, ini juga cara terbaik bagi memberikan mereka motivasi untuk memperoleh kejayaan.
"Melalui bantuan ini saya percaya sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat penuntut terbabit untuk terus mengorak langkah bagi mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik.
"Pemilihan penerima BAP ini diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar UTeM dan kesemua mereka ini adalah penuntut diploma serta ijazah sarjana muda,” ujarnya pada Majlis
Perasmian Serambi ilmu Rakyat dan Penyerahan Bantuan Awal Pengajian oleh Yayasan Bank Rakyat di Perpustakaan Laman Hikmah, UTeM, baru-baru ini.
Hadir sama, Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif; Timbalan Ketua Pustakawan, Siti Saluwa Jamal; Pengurus Komunikasi Korporat YBR; Mohamad Ghazali Zainal Abidin dan Pengurus Serambi Ilmu Rakyat, Zatul Hasanah Mohd Radzhuan.
Pada majlis yang sama selain BAP, YBR turut memberi sumbangan untuk pembangunan Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat (SIR CORNER).
Jelas Syaiful Rizal, untuk SIR CORNER, YBR telah sumbangkan set kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk dimanfaatkan pelajar.
Ujarnya, ini akan membantu mahasiswa mendapatkan maklumat berkaitan pengajian terkini serta akses kepada bahan bacaan ilmiah secara digital.
"Usaha SIR Corner ini adalah medan pemerkasaan pendidikan dalam merealisasikan visi yang berteraskan pendidikan juga menjadi kelebih YBR berbanding yayasan lain,” katanya.
Sebanyak 20 institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara telah terpilih untuk menerima SIR Corner dengan jumlah peruntukan kira-kira RM300,000.
Selain itu YBR turut memperuntukkan RM350,000 tiap tahun untuk langganan dan pangkalan data bahan digital SIR dari pembekal bagi meningkatkan minat membaca dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat.