Pasukan inovasi guru dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Puncak Alam, Selangor berjaya mengharumkan nama sekolah apabila meraih tempat ketiga dalam kategori Pendidikan (Sekolah) menerusi pertandingan New Generation World Innovation Challenges (NEWIC) 2026 sempena CKSPO TVET @ KKDW 2026 di Pekarangan Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini.
Kejayaan ini diraih menerusi projek inovasi e-IHAB: Meningkatkan Kemahiran Merekod Amalan Murid (IHAB) bagi Tiga Orang Guru Tahun 6 di SRA Puncak Alam.
Projek berkenaan mengetengahkan usaha pendigitalan dan penambahbaikan kaedah merekod amalan murid secara lebih sistematik, sekali gus membantu memudahkan pengurusan guru dalam memantau amalan murid.
Pasukan yang mewakili projek itu terdiri daripada Munera Hashim, Nur Syaida Syafiqah Baharudin, Muhammad Alias Omar, Nurul Izzah Mohd Shuib, Mohd Izzuwan Mahyudin dan Muhammad Farhan Rahimi Md Said Ramdzan.
Pengiktirafan tersebut merupakan satu pencapaian yang membanggakan, khususnya dalam usaha memperkukuh budaya inovasi dan penyelidikan tindakan dalam kalangan guru pendidikan agama.
Kejayaan ini juga membuktikan bahawa warga pendidik bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu, malah berupaya menghasilkan inovasi yang praktikal, relevan dan memberi nilai tambah kepada pengurusan pendidikan.
Inisiatif seperti e-IHAB ini mencerminkan komitmen guru untuk terus meneroka pendekatan baharu yang bersesuaian dengan keperluan pendidikan semasa.
Semoga kejayaan diraih menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan tindakan dan inovasi pendidikan yang kreatif, berimpak tinggi serta mampu memberi manfaat kepada guru dan murid.