Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud:
"Bersuci adalah sebahagian daripada keimanan”, (Hadis Riwayat Muslim).
Jelaslah bahawa kebersihan amat dititikberatkan dalam Islam memandangkan amalan bersuci dikaitkan dengan iman, perkara yang perlu dimiliki setiap umat Islam.
Dalam membincangkan perihal kebersihan ini, tandas sering menjadi topik utama memandangkan ia sering digunakan lebih-lebih lagi di sekolah.
Lazimnya, murid sekolah rendah perlu diberi pendedahan tentang kepentingan menjaga kebersihan dan keceriaan tandas.
Sehubungan itu, baru-baru ini Sekolah Kebangsaan (SK) Kanchong Darat, Selangor, telah menjalankan kempen menjaga kebersihan dan keindahan tandas sekolah melibatkan usaha bersama seluruh warga sekolah Tahun Satu hingga Enam.
Kempen yang diberi nama ‘Kita Jaga Dia’ telah bermula pada Jun tahun lalu dan ia masih diteruskan hingga hari ini dengan mempertanggungjawabkan setiap murid untuk terus mengekalkan kebersihan dan keindahan setiap tandas yang ada di sekolah.
Menurut Setiausaha Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan (3K) Hal Ehwal Murid (HEM) SK Kanchong Darat, Cikgu Siti Labibah Mohd Khailani, tugas pemantauan dan penjagaan tandas telah diagihkan di setiap blok tertentu mengikut unit beruniform.
"Demi memupuk nilai tanggungjawab dalam kalangan murid, tugas pemantauan ini diberi kepada mereka untuk terus mengekalkan kebersihan tandas sekolah.
"Contohnya, unit beruniform Puteri Islam perlu memantau kebersihan tandas di Blok A manakala Pengakap pula di Blok B sekolah.
"Ini juga sebagai latihan kepada murid agar sentiasa cakna dengan kebersihan tempat yang sering digunakan sepanjang waktu persekolahan,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.
Sementara itu, Guru Besar sekolah berkenaan, Rozanah Abd Razak memberitahu, kempen tersebut dilihat berjaya mendisiplin murid semasa menggunakan tandas dalam memastikan kebersihan dalam tandas sentiasa terkawal.
Malah amalan tersebut juga membuktikan murid mampu mengamalkan kebersihan serta menjaga keceriaan persekitaran sekolah.
"Alhamdulillah, tandas yang ceria dan bersih ini telah menerima Anugerah Penarafan Lima Bintang Amalan Terbaik 3K ‘Tandasku Identitiku’ daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.
"Ini merupakan satu pencapaian membanggakan buat sekolah dan diharap dapat menjadi contoh untuk sekolah-sekolah lain supaya kebersihan dan keceriaan tandas terus dijaga,” ujarnya.