Murid Kuala Nerus belajar renang, tingkat kesedaran keselamatan air

Iklan
Inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan murid tentang keselamatan air, di samping memberikan pendedahan awal kepada kemahiran renang dan asas pertolongan kecemasan.

Seramai 60 murid Tahap Dua dari empat sekolah rendah di Kuala Nerus, Terengganu berpeluang mempelajari kemahiran renang asas dan keselamatan air menerusi program pendidikan yang memberi penekanan kepada pencegahan lemas.

Program itu melibatkan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, SK Gong Badak, SK Kompleks Gong Badak dan SK Kompleks Tembesu dengan bimbingan tenaga pengajar di Kolam Renang Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Iklan
Iklan

Menurut satu kenyataan media, inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan murid tentang keselamatan air, di samping memberikan pendedahan awal kepada kemahiran renang dan asas pertolongan kecemasan.

"Program Pemindahan Ilmu Sains Sukan dan Keselamatan Air Menerusi Modul Renang Asas Berasaskan Kolam bagi Pelajar Sekolah Rendah di Kuala Nerus dianjurkan UMT menerusi Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL) dengan pembiayaan Geran Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme (KTAGS) UMT.

Iklan

"Diketuai Dr Che Nadia Che Samsudin, program berkenaan turut mendapat kerjasama Kelab Renang Ayakurik yang dipimpin Mohamad Fuad Hashim Azmi," kongsi kenyataan itu.

Sepanjang program, murid didedahkan dengan latihan asas resusitasi kardiopulmonari (CPR), pemanasan badan dan regangan berasaskan sains sukan, selain latihan membina keyakinan berada di dalam air dalam persekitaran kolam yang terkawal.

Iklan

Pendedahan itu turut memberi peluang kepada murid memahami kepentingan mematuhi langkah keselamatan ketika melakukan aktiviti air, selain mengenali tindakan awal yang boleh diambil dalam situasi kecemasan.

Penglibatan guru pengiring juga menjadi sebahagian daripada usaha memperluas pengetahuan keselamatan air di sekolah supaya ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam aktiviti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK).

Sementara itu, Dr Che Nadia berkata, program tersebut bukan sahaja bertujuan memupuk kesedaran keselamatan air dalam kalangan murid, malah diharapkan dapat meluaskan pengetahuan tersebut kepada guru, keluarga dan masyarakat setempat.

"Pemindahan ilmu daripada universiti kepada komuniti merupakan langkah penting dalam memastikan kepakaran dalam bidang sains sukan dan keselamatan air dapat dimanfaatkan secara langsung," katanya.