Inisiatif Sekolah Angkat Madani Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) memberi manfaat kepada warga Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Kechil, Melaka menerusi projek menaik taraf makmal komputer dengan peruntukan RM100,000.
Projek berkenaan disempurnakan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah pada majlis penyerahan projek Sekolah Angkat Madani POLYCC di sekolah berkenaan baru-baru ini.
Guru Besar SK Ramuan China Kechil, A Ramanan berkata, sebelum projek itu dilaksanakan, makmal komputer sekolah berdepan beberapa kekangan termasuk penyaman udara yang tidak mampu menampung keperluan pengguna serta perabot lama.
"Ruang pembelajaran juga memerlukan penambahbaikan dari segi keceriaan dan keselesaan," katanya.
Menurut Ramanan, projek menaik taraf makmal komputer itu melibatkan penambahbaikan perabot, penyaman udara, pembaikan fizikal, kerja pengecatan dan pendawaian elektrik.
"Kemudahan yang lebih baik itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru dan murid bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran serta menggalakkan penggunaan teknologi.
"Sesungguhnya, projek ini bukan sekadar menaik taraf sebuah makmal komputer, malah membuka ruang dan peluang kepada anak-anak kami untuk meneroka ilmu, mengembangkan potensi diri dan membina keyakinan demi menghadapi cabaran masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Ramanan berkata, penglibatan Kolej Komuniti Masjid Tanah dan institusi POLYCC Negeri Melaka turut memberi manfaat kepada sekolah serta komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti.
Ujar Ramanan, antaranya termasuk kerja tanggungjawab sosial korporat menaik taraf kolam ikan dan Taman Oasis oleh Kolej Komuniti Masjid Tanah bersama Kolej Komuniti Selandar serta aktiviti gunting rambut oleh Kolej Komuniti Kota Melaka.
Selain itu, program tersebut turut merangkumi kursus pendek seperti aktiviti menghasilkan jambangan coklat bersama komuniti setempat dan kursus robotik untuk murid sekolah.
Malah, pameran serta demonstrasi yang diadakan turut memberi peluang kepada warga sekolah dan pengunjung mengenali pelbagai bidang kemahiran serta teknologi.
Dalam pada itu, Ramanan berharap inisiatif berkenaan menjadi titik permulaan kepada jalinan kerjasama lebih erat dan berterusan antara pihak sekolah, POLYCC, ibu bapa serta komuniti setempat.
"Semoga kemudahan makmal komputer yang telah dinaik taraf ini dapat dipelihara dengan sebaik-baiknya dan dimanfaatkan sepenuhnya demi meningkatkan kualiti pembelajaran serta melahirkan murid yang berilmu, berkemahiran dan berkeyakinan," katanya.