Kemunculan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) menuntut keupayaan masyarakat mempertingkatkan pengetahuan tentang penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian yang melibatkan pelbagai bidang.
Ia juga telah menjadi salah satu perkara penting dalam sektor kesihatan, perindustrian, perbankan, pertanian serta pendidikan di seluruh negara.
Malah penggunaan pelbagai aplikasi dalam sektor awam dilihat akan terus berkembang sejajar dengan perancangan kerajaan dalam mendukung Matlamat Pembangunan Lestari 2030 (Sustainable Development Goals 2030).
Menurut Pensyarah Kanan Psikologi, Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Fairuz Jafar, salah satu teknologi digital yang semakin popular adalah perkembangan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence).
Katanya, kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai AI ini merupakan satu model kecerdasan manusia yang diprogramkan dalam mesin di mana ia mempunyai kemampuan untuk bertindak sama seperti kecerdasan dimiliki oleh manusia.
Untuk itu, kemunculan Generative Pre-training Transformer (ChatGPT) sebagai satu platform komunikasi maya berasaskan teknologi AI dilihat membuka satu dimensi baharu dalam kalangan pelajar dan guru.
"ChatGPT adalah ruang sembang maya yang mampu memahami dan memberi maklum balas dalam konteks bahasa semula jadi.
"Keupayaan ChatGPT ibarat sebuah mesin atau robot dalam memberi penyelesaian kepada setiap masalah rumit yang dikemukakan oleh manusia dengan pantas dan cepat.
"Malah kotak dialog dalam ChatGPT juga mampu menjawab setiap soalan yang dikemukakan secara terus berbanding membuat pencarian di enjin pencarian seperti Google Search,” ujarnya kepada Sinar Bestari.
Melihat kepada konteks pendidikan yang semakin maju di peringkat sekolah mahupun institut pengajian tinggi (IPT), penggunaan ChatGPT dapat mendedahkan pelajar kepada persekitaran pembelajaran abad ke-21.
Selain itu, Mohd Fairuz turut menyatakan ChatGPT berkemungkinan dilihat tidak menyumbang kepada pemikiran kritis pelajar memandangkan maklumat yang dikehendaki mudah diperoleh hanya melalui aktiviti perbualan yang pantas dalam teknologi berkenaan.
Namun, beliau berpendapat pemikiran kritis pelajar masih boleh dipupuk dengan cara guru menggunakan kreativiti seperti membina situasi perdebatan di dalam bilik darjah bagi membuktikan ketekalan maklumat yang diperoleh adalah berdasarkan dari ChatGPT.
"Di samping itu, dengan adanya teknologi ChatGPT ini pelajar bukan lagi sekadar menerangkan maklumat tetapi keupayaan mereka ditaksir melalui kebolehan menganalisis masalah, membuat menaakulan dan mencipta jalan penyelesaian kepada masalah yang diberikan.
"ChatGPT ini juga merupakan salah satu manfaat dan cabaran yang harus diterima para pendidik baik di peringkat sekolah mahupun IPT dalam usaha memberi pendidikan terbaik kepada generasi masa depan negara,” ujarnya.