Aktiviti mendaki (hiking) bukit atau gunung semakin menjadi kegilaan ramai pada masa kini.
Difahamkan, semua peringkat umur termasuklah golongan guru dan pelajar memilih mendaki sebagai salah satu hobi masing-masing.
Mendaki yang sering diadakan secara berkumpulan itu mampu meningkatkan tahap kecergasan anggota fizikal dan menjimatkan perbelanjaan kerana tidak memerlukan peralatan atau kelengkapan khas.
Malah, jarak perjalanan kembara hiking yang dilakukan bergantung kepada kemampuan guru dan pelajar, khususnya fizikal badan, kekuatan tenaga serta pernafasan.
Sebelum melakukan aktiviti kembara berjalan kaki ini, para peserta dinasihatkan memberi tumpuan kepada beberapa tip yang dikongsi Sinar Bestari ini.
Ia bertujuan mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini kepada penggemar hiking.
Jom kita baca dan amalkan 10 tip yang disediakan portal pendidikan ini. Semoga bermanfaat!
1) Cuaca
Sila periksa ramalan cuaca terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan. Jika semalam hujan lebat dan anda merancang untuk mendaki seawal pagi, kemungkinan besar laluan becak, berlumpur dan sedikit merbahaya. Jadi hati-hati!
2) Kasut
Guna kasut hiking yang sesuai untuk kaki. Selalunya ini yang paling diabaikan oleh pendaki ketika mendaki bukit atau gunung.
3) Pakaian
Sekiranya mendaki di tempat yang beraltitude tinggi, pakaian yang diperbuat daripada kapas tidak sesuai kerana ia tidak menyerap peluh. Disarankan anda memakai pakaian berjenama Adidas, Nike dan Under Armour kerana menggunakan material compression (mampatan) yang dapat menyerap peluh dan membolehkan pendakian bertambah selesa.
4) Stamina
Sebelum memulakan pendakian, dinasihatkan membuat senaman ringan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 minit. Ini untuk mengelakkan otot menjadi kejang sejurus memulakan pendakian.
5) Makanan dan minuman
Digalakkan mengambil makanan ringan seperti bijirin sebelum memulakan pendakian. Jangan makan makanan seperti nasi lemak yang boleh mengakibatkan anda pancit dan tiada tenaga untuk mendaki.
Sediakan makanan ringan seperti coklat atau energy bar dan minuman isotonik 100PLUS untuk dijadikan jajan sepanjang pendakian. 100PLUS bagus untuk menggantikan garam dalam badan yang keluar semasa berpeluh dan boleh mengelakkan daripada kekejangan.
6) Masa
Perlu diingat, kita pergi mendaki bukan untuk mencatat rekod dunia tetapi untuk merasai pengalaman melalui satu tempat baharu.
7) Sesi bergambar
Saat yang paling dinantikan para pendaki khususnya apabila berjaya mendaki hingga ke puncak. Bagaimanapun, mohon tidak diabaikan aspek keselamatan sepanjang sesi bergambar dilakukan.
8) Percakapan dan adab
Pendaki perlu menjaga percakapan dan adab sepanjang mendaki. Jika ternampak sesuatu, diamkan sahaja. Sebolehnya bercerita perkara-perkara pelik selepas aktitivi pendakian.
9) Semangat setiakawan
Jangan mementingkan diri sendiri ketika mendaki sebaliknya peserta harus mengambil berat antara satu sama lain sekiranya mendaki secara berkumpulan.
10) Mental
Pendaki perlu berfikiran positif sepanjang menjalankan aktiviti tersebut. Bila sentiasa berfikir yang baik-baik, pendakian pastinya akan berjalan lancar. Percayalah!