Semua pelajar menginginkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Mereka sanggup berbuat apa sahaja asalkan memperoleh apa yang diidamkan.
Menurut Guru Sejarah, Pusat Tuisyen Nurun Academy, Cikgu Nur Aisyah Samsuddin, terdapat beberapa tip yang perlu diamalkan para pelajar jika mahu berjaya.
"Saya kongsikan 20 tip menjadi pelajar cemerlang yang telah diaplikasikan kepada anak-anak didik Pusat Tuisyen Nurun Academy.
"Setakat ini, tip-tip yang diberikan sememangnya ‘menjadi’,” ujarnya kepada Sinar Bestari.
Jom ikuti koleksi tip daripada Cikgu Nurun Aisyah ini.
Tip 1: Membuat persediaan awal
- Pelajar perlu membuat persediaan awal sebelum menduduki apa jua peperiksaan. Elakkan belajar di saat akhir kerana ia akan memberi tekanan kepada anda.
Tip 2: Menjadi pelajar berdisiplin
- Pelajar perlu mendisiplinkan diri terlebih dahulu supaya proses pembelajaran dan sesi ulang kaji berjalan lancar.
Tip 3: Jangan malu untuk bertanya
- Dapatkan bantuan guru atau rakan-rakan untuk melengkapkan nota-nota yang tertinggal. Jika tidak faham, terus merujuk kepada cikgu berkenaan isi nota terbabit.
Tip 4: Bertukar pendapat
- Pelajar disarankan sentiasa memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Amalan ini dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran masing-masing.
Tip 5: Belajar berkumpulan
- Antara cara yang paling berkesan adalah belajar berkumpulan. Teknik ini mampu membantu pelajar memahami fakta dengan lebih jelas.
Tip 6: Menyiapkan tugasan
- Siapkan tugasan lebih awal kerana jika tidak faham, anda boleh terus berjumpa dengan cikgu subjek tersebut.
Tip 7: Berfikiran positif
- Sentiasa berfikiran positif iaitu mahu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Tip 8: Membeli buku rujukan
- Pelajar boleh meminta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku rujukan untuk subjek tertentu. Cara ini lebih baik agar anda terus mendapat bahan bacaan yang diinginkan.
Tip 9: Menyertai kelas tambahan
- Mengikuti kelas tuisyen bagi yang berkemampuan. Jika tidak, boleh hadiri kelas tambahan di sekolah dan membuat ulang kaji secara berterusan.
Tip 10: Tanamkan cita-cita
- Pelajar seharusnya mempunyai cita-cita tinggi dan berusaha untuk mencapainya.
Tip 11: Menjaga kesihatan
- Jaga kesihatan sebaik mungkin dengan menghindari pemakanan yang tidak berkhasiat.
Tip 12: Menunaikan kewajipan
- Bagi pelajar Islam, tunaikan solat lima waktu manakala bukan Islam, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.
Tip 13: Menguji tahap kefahaman anda
- Ambil masa untuk menguji tahap kefahaman diri dengan mengadakan ujian dan peperiksaan seperti peperiksaan sebenar.
Tip 14: Tawakal selepas berusaha
- Bagi pelajar Islam, anda harus bertawakal (berserah diri) kepada ALLAH dan jangan berputus asa jika gagal. Sekiranya gagal, berusahalah lagi untuk mengejar kejayaan.
Tip 15: Menghormati guru
- Pelajar perlu menghormati guru walau dalam keadaan apa sekalipun.
Tip 16: Merubah sikap dan tabiat buruk
- Memperbaiki kelemahan diri merupakan usaha untuk merubah menjadi yang lebih baik.
Tip 17: Elakkan sifat hasad dengki
- Ketepikan perasaan cemburu dan hasad dengki. Sebolehnya, amalkan persaingan sihat dengan rakan sekelas misalnya bekerjasama dengan kawan yang lebih arif dalam mata pelajaran tertentu.
Tip 18: Sentiasa berdoa
- Kita sebagai manusia perlulah menjaga hubungan dengan ALLAH. Insya-ALLAH, tuhan akan memudahkan urusan ketika peperiksaan.
Tip 19: Menjaga masa
- Sediakan jadual harian dan jadual belajar bagi mengelakkan anda membazirkan masa begitu sahaja.
Tip 20: Sanggup berkorban
- Sebagai pelajar cemerlang, anda harus melupakan semua keseronokan dan memberi tumpuan pada pelajaran.