Kanak-kanak merupakan golongan paling teruja apabila berpeluang menyertai pertandingan mewarna.
Malah, keterujaan mereka menjadi berganda-ganda apabila masing-masing dibekalkan dengan kepelbagaian alat melukis seperti pensel warna, buku lukisan, pengasah, pembaris dan sebagainya sepanjang sesi mewarna berlangsung.
Bagaimanapun, apabila pengumuman pemenang dibuat, sudah semestinya ada dalam kalangan kanak-kanak kecewa apabila lukisan mereka tidak diangkat sebagai pemenang.
Sedih bukan!
Menurut Pengajar Teknik Mewarna, Hasren Ismail, untuk memenangi pertandingan sedemikian, para peserta perlu dibekalkan dengan beberapa panduan penting sebelum menyertai aktiviti tersebut.
"Saya yakin, jika peserta mengamalkan tip yang saya beri ini, insya-ALLAH rezeki anak-anak untuk bergelar pemenang akan tercapai,” ujar Hasren yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang teknik mewarna.
Jom ikuti empat panduan yang dikongsi Hasren atau lebih dikenali dalam komuniti sebagai Uneh Raja Pensel Warna kepada Sinar Bestari.
Semoga bermanfaat!
1) Buat tona warna
- Tona warna bermaksud nilai gelap sehingga cerah yang diaplikasikan terhadap sesebuah objek yang bertindak balas terhadap arah pencahayaan. Semakin banyak objek terkena cahaya maka bahagian tersebut diwarnakan lebih terang manakala bahagian yang kurang terkena cahaya akan menjadi lebih gelap.
Dalam ilmu teori warna, setiap tona warna mempunyai karektor yang tersendiri. Sebagai contoh, hijau tua sesuai untuk menunjukkan kematangan manakala hijau muda bermaksud kementahan atau keharmonian.
Warna hitam pula sesuai menunjukkan misteri atau prestij namun jika berlebihan akan menggelapkan maksud sesebuah lukisan.
Selain itu, warna kuning menggambarkan keceriaan namun jika berlebihan memberi kesan kebosanan.
Jika anak-anak berjaya memahami fungsi dan maksud warna dengan subjek, tentulah juri akan memberi markah lebih.
2) Penguasaan teknik mewarna mengikut cahaya
- 10 kaedah mewarna yang sesuai mengikut arah cahaya.
Antaranya adalah
a) Bawah gelap atas terang
b) Bawah terang atas gelap
c) Kiri gelap kanan terang
d) Kanan gelap kiri terang
e) Luar gelap dalam terang
f) Dalam gelap luar terang
g) Sendeng bawah gelap atas terang
h) Sendeng bawah terang atas gelap
i) Sendeng kiri gelap kanan terang
j) Sendeng kanan gelap kiri terang
Setiap kaedah-kaedah ini memiliki kekuatannya yang tersendiri dalam memikat hati juri.
Peserta boleh memilih salah satu daripada teknik ini dan aplikasikan dalam setiap ruang bagi objek pada kertas lukisan.
Pembahagian masa yang baik akan membantu anak-anak menyiapkan lukisan berwarna mengikut masa yang telah ditetapkan.
3) Penuhkan ruang kosong dengan lukisan berwarna
- Kebiasaannya, kertas lukisan yang diedarkan semasa pertandingan mewarna adalah kosong.
Penyediaan kertas lukisan dengan format begini adalah untuk menguji kreativiti anak-anak mengisi bahagian kosong tersebut dengan objek yang menepati tema ditetapkan.
Katakanlah pertandingan mewarna kali ini bertemakan Hari Merdeka dan diletakkan gambar tiga rakyat Malaysia berbilang bangsa iaitu Melayu, Cina dan India sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Ruang kosong di belakang subjek tersebut perlulah diisi dengan objek bersesuaian seperti gambar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Litar Antarabangsa Sepang (SIC), makanan tradisional atau gambaran kepelbagaian budaya di Malaysia.
Dari sini, para juri akan menilai kreativiti anak-anak berdasarkan pengetahuan mereka kepada tema yang ditetapkan.
4) Pikat hati juri dan penganjur
- Selain menambahkan gambar yang sesuai pada latar belakang setiap lukisan, peserta juga boleh menulis sedikit cogan kata di bahagian gambar.
Pemilihan cogan kata tersebut hendaklah bersifat ringkas bagi menterjemahkan maksud lukisan. Gunakan juga tulisan yang kemas, saiz yang besar dan warna terang serta menonjol.
5) Panduan tambahan
- Bagi memastikan lukisan yang dihasilkan kelihatan baik, peserta boleh menggunakan kertas tebal yang terdapat pada kertas lukisan sebagai lapik ketika melukis. Ia mempunyai bahan yang sesuai melakar warna pada kertas lukisan agar kelihatan sekata.
Malah, kepelbagaian fungsi pensel warna putih seperti menonjolkan warna berkilat, warna kelihatan seragam dan lain-lain membantu proses pemberian markah daripada juri.