Sebagai seorang pendidik sudah menjadi tanggungjawab mereka mempersiapkan para pelajar dengan ilmu-ilmu untuk melangkah ke alam profesional.
Selain ilmu berlandaskan silibus mata pelajaran, pendidik juga harus mendidik pelajar dengan kemahiran lain seperti cara bekerja dalam kumpulan dan pemikiran kritis.
Hari ini dengan segalanya dihujung jari, pelbagai maklumat boleh diperoleh dan kali ini, Sinar Bestari ingin berkongsi bersama pembaca tujuh skil yang harus dipupuk kepada pelajar menurut Pakar Pendidikan Universiti Havard, Tony Wagner.
Tony berharap dengan memiliki tujuh kemahiran ini, ia akan menjadikan pelajar lebih bersedia masa depan.
Jom baca!
1) Kemahiran berfikir secara kritis untuk menyelesaikan masalah
Pendidik harus memupuk kemahiran berfikir secara kritis dalam diri pelajar. Ini kerana dalam dunia professional hari ini setiap bidang mempunyai masalah tersendiri yang harus diselesaikan. Jadi jika dipupuk daripada awal pelajar akan lebih bersedia melangkah masuk ke alam pekerjaan nanti.
2) Kemahiran bekerjasama
Kebolehan untuk berkerjasama dan memimpin sesebuah kumpulan menjadikan pelajar itu lebih matang untuk melangkah ke alam pekerjaan nanti. Oleh itu, sebaiknya pelajar dilatih daripada awal.
3) Pantas menyesuaikan diri
Jika dibandingkan dengan zaman dahulu, banyak perubahan telah berlaku dari segi budaya tempat kerja mahupun cara kerja. Pelajar harus mahir menyesuaikan diri dengan cepat dan pantas bagi mengelakkan mereka ketinggalan.
4) Inovatif
Pelajar seharusnya diberikan ruang dan peluang untuk mengambil inisiatif sendiri dalam menyumbang kepada sesuatu perubahan. Ini untuk menjadikan mereka lebih berani melakukan perubahan serta membawa kelainan. Pendidik disarankan mendengar idea-idea bernas dan kreatif para pelajar di samping pupuk kemahiran pelajar untuk menjadi lebih inovatif.
5) Kemahiran berkomunikasi melalui penulisan dan percakapan
Dengan kemajuan teknologi yang ada hari ini, kemahiran berkomunikasi dengan berkesan masih penting untuk pelajar. Ini kerana kedua-dua teknik ini akan terus relevan untuk jangka masa yang lama.
6) Kemahiran menganalisis
Hari ini, dengan lambakan maklumat yang boleh diakses dalam internet, kemahiran pelajar untuk menganalisis sesuatu itu sangat penting. Mereka harus bijak menilai dan memilih perkara-perkara yang sahih ataupun tidak benar.
7) Kreatif
Tugas utama pendidik adalah untuk mengembangkan kreativiti yang terpendam dalam diri pelajar dan ia penting untuk menyerlahkan potensi diri pelajar. Selain itu, individu berfikiran kreatif sentiasa mempunyai pelbagai pilihan dalam menggalas tugas dan penyelasaian masalah berbeza berbanding orang biasa.