Seramai 403,637 calon menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang bermula hari ini hingga 15 Mac melibatkan 3,355 pusat peperiksaan seluruh negara.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya memaklumkan seramai 131,318 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan.
"Semua calon diingatkan agar sentiasa merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
"Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, KPM turut mengingatkan para calon untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022.
Lembaga Peperiksaan (LP) telah mengeluarkan jadual rasmi SPM 2022 yang bermula 20 Februari hingga 15 Mac depan.
Sebagai permulaan, calon-calon peperiksaan akan menduduki Bahasa Melayu Kertas 1 dan Kertas 2 serta Pendidikan Seni Visual-Teori Seni hari ini.
Manakala esok, calon SPM akan menduduki Bahasa Inggeris Kertas 1 dan Kertas 2 serta Tasawwur Islam.
Kepada semua calon, Sinar Bestari menasihatkan agar anda dapat menjaga kesihatan dan jawablah soalan dengan tenang.
Semoga kesemuanya akan memperoleh kejayaan cemerlang dalam SPM 2022, insya-ALLAH.