Cuti persekolahan sudah bermula dan pasti ramai ibu bapa yang sedang merancang dan mencari destinasi menarik untuk dilawati bersama anak masing-masing.
Sekiranya pembaca mencari kelainan pada musim cuti kali ini, anda mungkin boleh pertimbangkan untuk menjadikan pulau sebagai destinasi percutian.
Terdapat banyak pulau yang mendapat pelbagai pengiktirafan daripada pihak antarabangsa atas kecantikan serta keindahan semula jadi yang dimiliki.
Kali ini Sinar Bestari kongsikan kepada anda empat pulau yang menarik untuk dilawati bersama keluarga terutamanya pada musim cuti persekolahan.
Jom baca!
1) Pulau Perhentian, Terengganu
Pada awalnya pulau ini tidak mempunyai nama khusus, namun kerana fungsi pulau ini yang menjadi tempat persinggahan dan perhentian sementara pelayar-pelayar dari negeri asing seperti China, Singapura dan lain-lain, maka ia dipanggil Pulau Perhentian.
Terletak di Terengganu, Pulau Perhentian masih mempunyai banyak tarikan semula jadi yang tidak terusik kerana tidak ramai penduduk yang menetap secara kekal di pulau ini.
Pulau ini tidak mempunyai jalan raya, oleh itu cara untuk menerokai kawasan sekitar adalah dengan berjalan kaki melalui hutan dan persisiran atau boleh memesan perkhidmatan teksi laut (bot).
Antara aktiviti menarik boleh dilakukan ialah selam snorkel, selaman skuba dan pendakian hutan.
2) Pulau Tioman, Pahang
Pulau kecil bernama Tioman ini terletak 32 kilometer (km) dari pantai barat negeri Pahang dengan kepanjangan pulau berukuran 20 km.
Portal pelancongan yang kongsikan destinasi pilihan cuti di serata dunia, CNN Travel serta majalah TIME pernah mengiktiraf pulau ini sebagai salah satu pulau tercantik di dunia.
Pulau Tioman boleh diakses melalui dua pelabuhan iaitu Jeti Mersing di Johor serta Jeti Tanjung Gemuk, Pahang.
Aktiviti menarik yang boleh dilakukan ialah lawatan pulau, selam snorkel, selaman skuba, aktiviti mendaki dan mandi di air terjun.
3) Pulau Langkawi, Kedah
Perkongsian tempat menarik untuk dilawati ini tidak akan lengkap jika tidak ada pulau yang penuh dengan tarikan alam serta lagendanya yang tersendiri, Pulau Langkawi.
Terletak di kawasan utara semenanjung negara, Pulau Langkawi merupakan zon bebas cukai dan juga antara destinasi yang paling banyak dilawati oleh pelancong baik dalam atau dari luar negara.
Pulau ini juga merupakan rumah kepada kisah-kisah lagenda tanah air seperti Mahsuri, Dayang Bunting, Kisah Mat Chincang dan Mat Raya serta pelbagai lagi.
Selain itu, Pulau Langkawi juga merupakan tarikan pertama di rantau Asia Tenggara yang mendapat pengiktirafan daripada United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) sebagai tapak warisan dunia.
Antara aktiviti menarik boleh dilakukan di pulau ini ialah aktiviti pantai, mendaki hutan, kereta kabel dan mendaki gunung.
4) Pulau Redang, Terengganu
Pulau ini menjadi tarikan kerana pasir pantainya yang putih bersih serta airnya yang membiru jernih.
Terletak di pantai timur semenanjung negara di negeri Terengganu, pulau ini juga terkenal dalam kalangan pelancong kerana kecantikan flora dan fauna yang cukup memukau.
Walaupun saban tahun menerima jumlah pelancong yang ramai, soal penginapan tidak perlu menjadi kebimbangan kerana di Pulau Redang terdapat banyak penempatan seperti hotel, chalet dan rumah penghinapan disediakan.
Antara aktiviti menarik boleh dilakukan ialah pendakian hutan; selam snorkel, lawatan pulau, selaman skuba, berkayak, aktiviti pantai dan memancing.