Lebih 30 pemenang Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) yang terdiri daripada usahawan tempatan diumumkan pada malam gala penganugerahan di DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City, Selangor, malam tadi.
Bidang pendidikan merupakan antara pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mendapat pengiktirafan untuk dijadikan inspirasi kepada peniaga baharu dan generasi muda.
Enam pemenang bidang pendidikan yang merangkul BISA ialah
1) Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid - Anugerah Pemangkin Pendidikan Masa Depan 2023
2) Ketua Pegawai Eksekutif Durioo Sdn Bhd, Sinan Ismail - Anugerah Rangkaian Edutainment Islamik 2023
3) Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusoff - Anugerah Usahawan Islam Moden 2023
4) Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi Al Kauthar Eduqids, Datin Dr (HC) Nor Fadilah Alias - Anugerah Pemangkin Inovasi Pendidikan Awal 2023
5) Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Al Kauthar Eduqids Datuk Dr (HC) Kapten Bakhtiar Aliff - Anugerah Montessori Islamik Pilihan 2023
6) Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Koolkidz Academy, Sharifah Asdahlina Habib Ahmad - Anugerah Playschool Pilihan 2023
Sinan Ismail berkata, dia bersyukur kerana platform penstriman Durioo+ yang menawarkan kandungan kartun dan rancangan berunsur Islamik untuk kanak-kanak memperoleh pengiktirafan.
"Apa yang dilaksanakan berada pada landasan betul dan dihargai oleh khalayak.
"Bahkan, platform penstriman tersebut dibangunkan untuk membentuk ummah dan anak-anak yang beriman, berakhlak dan berilmu," katanya ketika ditemui selepas malam gala penganugerahan BISA di DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City, Selangor baru-baru ini.
Majlis anugerah berkenaan dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Hadir sama, Timbalan Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhamad Nasir Hamzah; Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli dan Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin.
Dalam pada itu, Ahmad Dasuki berkata, BISA dapat memberi motivasi kepada usahawan-usahawan syarikat malah meningkatkan jenama mereka.
"Tahniah kepada Sinar Harian kerana memberi pengiktirafan kepada usahawan-usahawan berkenaan dan mungkin mereka juga merupakan peminjam PTPTN," ujarnya.
Sharifah Asdahlina pula memberitahu, dia berbangga dengan pencapaian berkenaan dan lebih bersemangat dalam memberi pendidikan kepada generasi muda.
"Pada tahun ini, kita menyasarkan sebanyak 50 cawangan Koolkidz Academy di seluruh negara," ujarnya.
Bagi Nor Fadilah, dia berharap dapat mengembangkan lagi pendidikan awal kanak-kanak.
"BISA menjadi pemangkin semangat kepada saya untuk terus memberikan yang terbaik pada masa depan," katanya.
Sementara itu, Mohammad Yaakub memberitahu, kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan pasti ada sesuatu diamanahkan kepada kita.
"Apabila berada pada majlis ini, saya dapat berkenalan dengan ramai orang hebat malah ia menjadi platform untuk meluaskan rangkaian.
"Saya dapat mempelajari daripada mereka untuk mengembangkan dan memajukan perniagaan saya," katanya.