Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan, meraikan 117 murid-murid yang mencapai keputusan cemerlang dalam bidang akademi baru-baru ini.
Guru Besarnya, Hamdhan Mansor berkata, program Hari Anugerah Cemerlang diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada usaha yang telah dilakukan para murid untuk memperoleh kejayaan sepanjang sesi persekolahan.
"Bagi memastikan murid-murid memperoleh pembelajaran efektif, guru-guru dilengkapi dengan kemahiran pedagogi bersifat holistik, meneroka penggunaan model pembelajaran pelbagai mod yang memanfaatkan teknologi supaya dapat mencungkil kemahiran berfikir serta mengukuhkan pembelajaran murid.
"Selain itu, sekolah turut menganjurkan pelbagai program dalam memastikan kemenjadian murid termasuk bengkel pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc), ceramah serta sesi motivasi sepanjang tahun,” katanya.
Program berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar.
Hamdhan menambah, sekolah juga menghantar guru-guru menghadiri pelbagai kursus berkaitan pembelajaran terkini untuk memastikan para murid memperoleh sesuatu yang baharu.
Tuturnya, sekolah tidak terkecuali dalam memperluas jaringan dengan pelbagai pihak untuk melaksanakan program-program terbabit bagi mencapai hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) mencapai kemenjadian murid.
Mengulas mengenai Belanjawan 2023 baru-baru ini, Hamdhan memberitahu, keseluruhan pembentangan bajet menepati semua keperluan lapisan rakyat negara ini.
"Bahkan, peruntukan yang disalurkan kepada KPM merupakan antara terbesar dan sesuai dengan keperluan pelbagai peringkat KPM dalam memastikan kemenjadian murid,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Arul Kumar berkata, inisiatif sekolah memberi pengiktirafan kepada para murid dapat menyuntik semangat mereka.
Dia menambah, ia sama sekali akan memberi lonjakan kepada mereka untuk terus berusaha dalam mengecapi kejayaan dalam pelajaran dan kehidupan pada masa depan.