Persiapan anak-anak belajar di asrama penuh, ini 10 perkara yang anda perlu tahu!

Iklan
Berikut 10 perkara yang perlu diambil kira oleh pelajar mahupun ibu bapa di Sekolah Khusus khususnya di SBP. Kredit foto: Bernama

Sesi Persekolahan 2023/2024 akan bermula tidak lama lagi. Ketika ini, ibu bapa dan penjaga merupakan individu yang paling sibuk menguruskan hal persekolahan anak-anak.

Selain membuat persiapan membeli barangan keperluan sekolah, mereka juga perlu menyelesaikan urusan pendaftaran anak-anak ke sekolah yang dipohon.

Iklan
Iklan

Bagi pelajar yang mendapat tawaran ke Sekolah Khusus iaitu sekolah yang terdiri daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV), Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), tentunya persiapan mereka lebih rapi dan teratur.

Ini kerana bukan calang-calang pelajar yang dapat ke Sekolah Khusus. Hanya mereka yang terpilih sahaja layak untuk meneruskan pembelajaran di sini.

Iklan

Bagaimanapun, persiapan akademik semata-mata tidak mencukupi bagi melayakkan anak-anak terus belajar di asrama penuh.

Menurut guru dari Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang Selangor, Cikgu Adham Berhaumidin, banyak aspek perlu dipertimbangkan sekiranya mereka terpilih ke asrama.

Iklan

"Selain persediaan para pelajar, ibu bapa juga perlu bersedia dalam memastikan kemandirian dan momentum kehidupan anak-anak di asrama penuh, berjaya dan mencapai objektif,” ujar Cikgu Adham seperti dipetik menerusi blognya.

Cikgu Adham yang kini mengajar subjek Matematik Tambahan untuk pelajar Tingkatan Empat dan Lima berkata, terdapat 10 perkara perlu diambil kira baik pelajar mahupun ibu bapa di Sekolah Khusus khususnya di SBP.

10 perkara menurut Juara Cikgu Digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ini adalah

1) Kawalan dan penjagaan berterusan

  • Struktur kawalan dan penjagaan berterusan yang dibuat pihak kerajaan bagi memastikan pelajar meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

2) Elak gejala negatif

  • Menghindari gejala negatif dan pengaruh buruk rakan sebaya seperti merokok, dadah dan lain-lain seperti di sekolah harian. Di sekolah berasrama seperti SBP, gejala seperti ini terkawal dan jika didapati ada kes sedemikian, pelajar terdedah kepada undang-undang tegas seperti dibuang sekolah.

3) Lebih tersusun

  • Aktiviti pembelajaran juga lebih tersusun kerana pelajar di asrama penuh perlu mematuhi jadual ketat seperti jadual pembelajaran berguru (sekolah), kelas persediaan (prep), solat berjemaah dan riadah.

4) Berdikari

  • Lepasan SBP dan Sekolah Khusus yang lain biasanya lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Mereka lebih berdikari ilmu yang mungkin tidak diperolehi di sekolah harian.

5) Hidup sistematik

  • Manusia perlu ada rutin kerana dengan ini mereka boleh belajar banyak perkara dalam hidup. Misalnya di asrama penuh, perlu awal pagi untuk subuh berjemaah, diikuti sarapan pagi, kelas akademik, prep, riadah, aktiviti kerohanian waktu Maghrib, prep malam dan sebagainya. Jika dilihat aktiviti pelajar di asrama penuh, memang diisi dengan aktiviti berfaedah. Bagaimanapun, masih ada ruang untuk pelajar menonton televisyen, mendengar muzik dan melayari internet dalam kuantiti terkawal serta tidak sampai membuang masa.

6) Meluaskan kenalan

  • Kewujudan teknologi maklumat dan kebanjiran gajet menyebabkan dunia anak-anak sekarang kurang bersosial. Bersosial di laman sosial sangat berbeza dengan dunia nyata. Inilah masanya untuk menyediakan mereka dengan dunia realiti dalam pergaulan masyarakat. Di Sekolah Khusus, mereka akan mengenal erti sahabat dan akhirnya dapat meneruskan cabaran hidup apabila dewasa kelak.

7) Memaksimakan potensi diri

  • Di SBP, pelajar akan bersaing dengan pelajar yang terpilih. Persaingan sihat ini secara tidak langsung akan memaksimakan potensi diri anak-anak bukan sahaja dalam bidang akademik, malah kokurikulum. Jika hendak dibandingkan dengan prestasi akademik, kebanyakan pelajar di sini adalah cemerlang dalam akademik, yang membezakan mereka ada penampilan, lebih berani, gaya, kepimpinan, kepetahan bercakap, daya juang dan pelbagai kemahiran insaniah lain. Inilah yang akan digilap bagi menjadikan diri mereka adalah yang terbaik daripada kalangan terbaik.

8) Belajar hidup susah dan kuatkan jati diri

  • Di asrama penuh, pelajar akan mula berdikari seperti membasuh baju, mengemas barang peribadi, berdisiplin, pantas bertindak dan lain-lain. Erti kesusahan ini akan mentarbiah pelajar dan hanya akan terasa nikmatnya bila mereka keluar dari asrama nanti.

9) Mengembara

  • Program di sini menyediakan ruang untuk pelajar mengembara seluruh negara melalui kem perkhemahan, seminar, sukan dan banyak lagi. Aktiviti sebegini secara tidak langsung membina jaringan perhubungan yang luas antara pelajar dan ini akan berterusan apabila mereka ke institut pengajian tinggi (IPT) dan memasuki dunia pekerjaan.

10) Kesihatan yang baik

  • Sebelum mendaftar masuk ke asrama, pelajar diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan kerana ada aktiviti yang memerlukan mereka aktif, cergas, berdikari dan bertenaga dalam setiap aspek.