EmpowerNCER Akademik @ Perak beri sumbangan kelengkapan persekolahan kepada 500 murid Orang Asli

Iklan
Bukan sahaja menyediakan pendidikan kepada murid Orang Asli, empowerNCER turut memberi peralatan persekolahan.

Negara bukan sahaja terdiri daripada rakyat berbilang bangsa seperti Melayu, Cina dan India tetapi juga mempunyai kaum Orang Asli yang dikelaskan sebagai komuniti terpinggir.

Mereka ini hidup terasing dan kurang mendapat perkhidmatan sempurna lebih-lebih lagi akses kepada pendidikan.

Iklan
Iklan

Malah penempatan dan kedudukan geografi yang terletak jauh di kawasan pedalaman antara faktor menyebabkan golongan berkenaan tidak mengambil berat untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

Bagi membantu anak-anak Orang Asli mendapatkan pendidikan sempurna, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program empowerNCER Akademik @Perak yang melibatkan seramai 500 murid dari enam daerah di Perak iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.

Iklan

Program tersebut memfokuskan kelas tambahan kepada murid Tahun Enam selain turut menganjurkan program berbentuk sahsiah diri mengikut modul yang telah dilaksanakan oleh penyedia perkhidmatan UPSI.

Menurut pengurus projek, Nazratul Ishmah Lokman, tujuan utama program empowerNCER Akademik @Perak adalah untuk membuka minda masyarakat Orang Asli tentang kepentingan menimba ilmu selain menyuntik rasa teruja dengan keadaan pembelajaran di institut pengajian tinggi (IPT).

Iklan

Melalui program yang sama, UPSI turut memberikan murid-murid ini set kelengkapan sekolah bagi menarik minat mereka ke Tingkatan Satu bagi sesi persekolahan baru Mac ini.

Bukan sahaja menyediakan pendidikan kepada murid Orang Asli, empowerNCER turut memberi peralatan persekolahan.

Kata Nazratul Ishmah, pemberian kelengkapan sekolah seperti baju, kasut, alat tulis dan beg sebagai persediaan awal kepada mereka untuk melangkah ke sekolah menengah bagi sesi persekolahan baru tidak lama lagi.

"Dengan pemberian ini ia dapat membantu meringankan beban ibu bapa murid Orang Asli memandangkan sesetengah daripada mereka menjana pendapatan melalui pencarian hutan yang tidak tentu akan nilainya.

"Bagi saya sendiri amat berharap dengan bantuan yang diberi dapat membuka mata dan minda anak-anak ini untuk terus bersemangat dalam menuntut ilmu dalam usaha menggapai masa depan yang lebih cerah,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

Pelaksanaan penyerahan kelengkapan barangan persekolahan ini telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Bersih, Ulu Selim, Perak, pada 17 Februari lalu dan diikuti sekolah lain sebelum berlangsungnya cuti sekolah pada takwin 2022.

Program ini telah dimulakan sejak 2020 dan masih diteruskan sehingga kini bagi mengangkat nilai pendidikan kepada murid sekolah terutamanya anak-anak Orang Asli.