Apabila kerajaan mengubah peraturan mengenai warna kasut sekolah dari putih ke hitam ia telah menyebabkan bekalan kasut kanvas putih melebihi permintaan di seluruh negara.
Untuk itu bagi mengelakkan kasut-kasut tersebut terbuang begitu sahaja, peruncit perkakas rumah Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad (MR D.I.Y.) telah mencipta satu idea inovatif melibatkan murid-murid sekolah dalam proses mengitar tinggi (upcycling) yang memberi nafas baharu kepada kasut berwarna putih.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan MR D.I.Y., inisiatif program ‘Walk with Style’ tersebut merupakan kerjasama dengan Soroptimist International Damansara (SID) dan telah menyaksikan lebih 750 murid sekolah dari Selangor, Perak, Kedah dan Kuala Lumpur menggunakan bekalan peralatan seni dari MR D.I.Y. untuk mencipta pelbagai jenis kasut sekolah yang menyeronokkan dan bergaya dengan rekaan yang unik dan tersendiri.
Antara murid-murid yang terlibat adalah dari Pusat Pembelajaran Edufun, Ipoh, Perak; Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Bendahara, Kodiang, Kedah; Rumah Aman Sungai Buloh, Selangor; Pusat Pembelajaran Komuniti Pelarian Myanmar (MRCLC) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Malah sukarelawan dari MR D.I.Y. juga turun padang membantu dan memberi panduan kepada murid-murid di mana secara keseluruhannya lebih 750 pasang kasut sekolah putih telah dikitar tinggi.
"Matlamat MR D.I.Y. adalah untuk menjadi sebuah perniagaan mampan yang memberi impak positif kepada komuniti.
”Sebahagian daripada usaha ini adalah dengan memainkan peranan untuk mendidik masyarakat mengenai keperluan untuk mengguna semula, mengurangkan, mengitar semula dan mengitar tinggi.
"Justeru, dengan penganjuran program ini ia dapat menerapkan pemahaman prinsip kelestarian dalam generasi muda kita sambil menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, menarik dan kreatif,” kata kenyataan itu lagi.
Mengulas lanjut tentang program itu, kenyataan tersebut turut menggalakkan penglibatan lebih banyak syarikat korporat bekerjasama dengan organisasi seperti SID untuk menghasilkan impak yang positif kepada komuniti.