Peraturan penggunaan dan penjagaan buku teks

Iklan
Kredit Foto: Unsplash

Setiap kali bermulanya sesi persekolahan baharu, para pelajar akan dibekalkan dengan koleksi buku teks iaitu buku yang akan digunakan sebagai bahan asas utama dan sebagai sumber maklumat mengenai mata pelajaran atau bidang tertentu.

Selain bahan asas, buku teks juga mempunyai soalan ramalan dan latihan untuk menguji minda dan kefahaman seseorang pelajar.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun masih ramai dalam kalangan anak-anak didik yang tidak menggunakan dan menjaga buku teks dengan baik.

Bagi mereka, buku teks bukanlah hak milik dan tidak perlu dijaga dengan elok. Sampai masanya, mereka akan memulangkan kembali kepada pihak sekolah untuk diagihkan kepada pelajar lain.

Iklan

Justeru, Sinar Bestari terpanggil untuk berkongsi senarai peraturan penggunaan dan penjagaan buku teks kepada pelajar.

Dengan adanya peraturan ini, sekurang-kurangnya dapat memberi kesedaran kepada mereka yang buku teks perlu dijaga dengan baik dan elok seperti mana mereka menjaga diri sendiri.

Iklan

Berikut sembilan peraturan berkaitan penggunaan dan penjagaan buku teks yang wajib pelajar fahami!

1) Murid/pelajar mesti menulis nama dan tahun dalam ruangan yang disediakan pada kulit dalam buku teks sebaik sahaja menerimanya.

2) Mereka wajib membalut buku menggunakan sampul plastik lutsinar sahaja.

3) Murid/pelajar tidak boleh meninggalkan buku teks di kelas, almari, bawah meja, kantin atau di tempat awam lain.

4) Dilarang menconteng atau mengoyakkan mana-mana muka surat buku.

5) Semasa pemulangan buku, nombor buku mestilah sama dengan nombor buku dalam borang penerimaan yang diisi semasa peminjaman buku pada awal tahun.

6) Mereka yang gagal memulangkan buku teks pada akhir tahun akan dikenakan tindakan disiplin dan wajib menggantikannya dengan buku baharu atau wang.

7) Murid/pelajar dikehendaki membaik pulih buku teks yang rosak. Sekiranya tidak dapat dibaik pulih, murid perlu menggantikannya dengan buku baharu.

8) Pengawas Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) akan mengadakan pemeriksaan dari semasa ke semasa dan berkuasa merampas buku setelah amaran kedua diberikan.

9) Guru SPBT dan guru subjek perlu memastikan buku teks digunakan secara optimum dan berkesan.

Dengan perkongsian peraturan ini, Sinar Bestari berharap para pelajar dapat mematuhi dan menjaga buku teks dengan baik agar boleh dimanfaatkan oleh generasi seterusnya.