3 guru besar Kuala Nerus berjaya genggam Phd

Iklan
Dari kiri Shamsida, Mohd Johari dan Norazura berjaya memperoleh PhD dalam bidang Pengurusan Kepimpinan Pendidikan daripada UniSZA.

Meskipun sibuk dengan tanggungjawab mendidik dan menguruskan sekolah, ia tidak menghalang tiga guru besar untuk melanjutkan pengajian hingga berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Nanas, Dr Mohd Johari Jusoh bersama-sama dua rakan baiknya iaitu Guru Besar SK Gong Badak, Dr Norazura Tahir dan Guru Besar SK Kompleks Tembesu, Dr Shamsida@Suriyam Hamzah bersyukur kerana berjaya memperoleh PhD dalam bidang Pengurusan Kepimpinan Pendidikan daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Iklan
Iklan

Mohd Johari berkata, harapan tinggi kerajaan dan ibu bapa terhadap sekolah mendorong beliau meningkatkan ilmu dan kemahiran demi memastikan murid menerima pendidikan berkualiti.

"Bagi saya, ketua pentadbir dan guru perlu sentiasa peka, menyesuaikan diri serta kemahiran dengan situasi semasa.

Iklan

"Sebagai contoh, apabila pandemik COVID-19 melanda beberapa tahun lepas, seorang pemimpin pendidikan perlu mempunyai kemahiran untuk menyesuaikan kaedah pengajaran dan pengurusan sekolah bagi memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas," katanya ketika ditemui selepas Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-18 UniSZA. 

Sehubungan dengan itu, beliau mahu menjadi penyuntik semangat kepada guru-guru lain untuk terus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan.

Iklan

Shamsida@Suriyam pula tidak menyangka dengan inisiatif dan dana sendiri, mereka bertiga berjaya menghabiskan PhD dalam tempoh ditetapkan iaitu selama dua tahun sembilan bulan, meskipun berdepan pelbagai cabaran.

"Ketika kami berjaya menamatkan pengajian sarjana dalam bidang sama di UniSZA pada 2021, kami bertiga nekad untuk mendapatkan PhD ini pada 2023. Alhamdulillah kami berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan tanpa sebarang penangguhan atau berputus asa.

"Kebanyakan guru kini mempunyai ijazah sarjana muda dan ramai juga yang menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Jadi sebagai guru besar kami perlu melangkah lebih jauh," katanya.

Beliau juga berharap ilmu itu dapat dimanfaatkan kepada guru-guru di bawah pentadbirannya dan memberikan motivasi kepada anak-anak muridnya untuk bercita-cita tinggi.

Dalam pada itu, Norazura berhasrat menjadi pensyarah bagi berkongsi ilmu dan pengalaman dengan generasi pendidik seterusnya, sekali gus melahirkan lebih ramai guru berkualiti dan berdaya saing.

"Antara cabaran besar guru besar wanita seperti saya ialah membahagikan masa untuk mengajar, menguruskan sekolah, rumah tangga dan pengajian. Saya bersyukur suami dan anak sentiasa memahami situasi saya yang sangat sibuk.

"Saya hanya berpeluang mengulangkaji dan menyiapkan tesis pada waktu malam manakala waktu siang pula saya fokus kepada tugas hakiki di sekolah dan rumah," kata ibu kepada seorang anak itu.

Terdahulu, Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-18 UniSZA yang berlangsung empat hari menyaksikan seramai 3,688 graduan menerima PhD, sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing. - Bernama