Sudah bergelar Doktor Falsafah (PhD) dan memiliki kelayakan pascadoktoral, namun semangat menuntut ilmu masih membara.
Bagi Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Dr Abdul Ghani Jalil, kejayaan bukan noktah perjuangan, sebaliknya pemangkin untuk terus melangkah demi memartabatkan pendidikan dan menginspirasi generasi masa hadapan.
"Kejayaan bukan sekadar diukur melalui pencapaian murid di bilik darjah, tetapi dinilai melalui kesungguhan mendidik, keazaman memperbaiki diri dan semangat menuntut ilmu tanpa noktah.
"Prinsip itulah dipegang demi melihat pendidikan sebagai amanah dan ilmu menjadi jalan perjuangan membina masa hadapan generasi muda," katanya yang kini berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena.
Bukan itu sahaja, Abdul Ghani berkata, tugas seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan pelajaran, sebaliknya membimbing murid mengenal potensi diri, membina keyakinan dan menyedari bahawa setiap kejayaan perlukan pengorbanan, disiplin serta usaha berterusan.
"Guru perlu berperanan sebagai pembimbing yang membantu murid berkembang termasuk memberi ruang belajar daripada kesilapan dan bangkit memperbaiki kelemahan," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Ghani menekankan kepentingan penguasaan bahasa sebagai asas pembentukan pemikiran yang tersusun, penyampaian idea yang jelas dan pembinaan hujah yang matang.
Dalam kemahiran penulisan karangan, katanya, murid bukan sahaja perlu memahami kehendak soalan, malah mengembangkan isi, membina ayat gramatis dengan bahasa yang berkesan.
"Kemahiran ini tidak boleh dikuasai melalui hafalan. Sebaliknya, murid perlu budayakan amalan membaca, perbanyak latihan, terima teguran dan tambah baik secara konsisten," jelasnya.
Ilmu tanpa batas
Apa yang menjadikan perjalanan akademik Abdul Ghani mengagumkan ialah kesungguhan meneruskan pencarian ilmu meskipun telah memiliki PhD dan pascadoktoral (Post PhD).
Kini, sekali lagi beliau melanjutkan pengajian peringkat PhD dalam bidang Pengurusan Sekolah di Universitas Jambi, Indonesia.
"Keputusan ini membuktikan bahawa kejayaan akademik bukanlah penamat perjuangan, sebaliknya ruang untuk meneroka pengetahuan yang lebih luas dan meningkatkan kompetensi diri.
"Pengajian ini turut memberi peluang memperkukuh pemahaman tentang kepimpinan pendidikan, pengurusan organisasi serta pembangunan potensi murid demi mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih berkesan," katanya.
Inspirasi
Kesungguhan Abdul Ghani membawa mesej besar kepada murid bahawa semangat belajar tidak sepatutnya terhenti disebabkan kegagalan, kekangan atau pencapaian yang telah dikecapi.
Jika seorang guru yang sudah mencapai kejayaan akademik masih sanggup kembali menjadi pelajar, membaca dan menjalankan penyelidikan, semestinya murid-murid perlu mempunyai keberanian untuk terus berusaha.
"Sesungguhnya, guru inspirasi bukan sahaja mengajar melalui kata-kata, malah menunjukkan teladan melalui tindakan," tegasnya.
INFO
Umur: 51 tahun
Sekolah: SMK Pokok Sena, Kedah
PENCAPAIAN
1) Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan Tahun 2021 Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri/Pejabat Pendidikan Daerah/Sekolah - Peringkat: Kebangsaan
2) Anugerah Guru Inovatif 2021 Kategori Sekolah Menengah Sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Tahun 2021 - Peringkat: Negeri
3) Surat Penghargaan Khas PDRM Kedah - Peringkat: Negeri
4) Anugerah Penghargaan Khas Mewakili Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Ke Pertandingan Bahas Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 - Peringkat: Kebangsaan
5) Penghargaan Khas Penglibatan Semakan Karya Autobiografi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah - Peringkat: Negeri
6) Anugerah Guru Hebat Bahasa - Peringkat: Negeri