Peranan mahasiswa atlet kepada pendidikan tinggi dan Matlamat Pembangunan Mampan

Iklan
Kredit foto: Unsplash

Mahasiswa atlet memainkan peranan penting kepada institut pengajian tinggi (IPT) dengan menyumbang kepada pencapaian sukan dan membantu keterlihatan persekitaran akademik.

Jika melihat kepada Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDGs), mereka memberi impak kepada beberapa matlamat seperti mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan melalui aktiviti fizikal; mengekalkan pencapaian akademik dalam mengutamakan pendidikan; mengimbangi stereotaip gender untuk mempromosikan kesaksamaan dalam sukan serta mempromosikan kepelbagaian dan inklusiviti untuk mengurangkan ketidaksamaan.

Iklan
Iklan

Dengan itu, keberadaan mahasiswa atlet di IPT bukan sahaja cenderung kepada kecemerlangan sukan tetapi turut membantu menyokong persekitaraan universiti yang dapat mencipta masyarakat lebih inklusif, berbilang budaya dan sejahtera.

Melihat kepada SDGs kategori SDG 3 iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan, mahasiswa atlet yang mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal secara berkala cenderung untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan dengan baik.

Iklan

Penglibatan dalam sukan memerlukan disiplin yang membawa kepada gaya hidup lebih sihat secara keseluruhan.

Ia sekali gus membantu memupuk pembudayaan gaya hidup harmoni dalam kalangan persekitaraan mereka.

Iklan

Selain itu, SDG 4 iaitu pendidikan berkualiti menunjukkan mahasiswa atlet dikehendaki mengekalkan kelayakan akademik untuk mengambil bahagian dalam sukan.

Ini bermakna mereka harus mengutamakan pendidikan yang membawa kepada prestasi akademik yang kukuh.

Peranan universiti adalah memberikan sokongan akademik kepada penuntut atlet untuk membantu mereka menyeimbangkan tanggungjawab akademik dan pencapaian sukan.

Mahasiswa atlet juga secara tidak langsung telah menyumbang kepada mengimbangi stereotaip gender dan mempromosikan kesaksamaan gender dalam sukan.

Peningkatan penglibatan mahasiswa wanita dalam sukan di peringkat kolej telah membawa kepada peluang yang lebih besar bagi atlet itu untuk mengejar kerjaya profesional dalam sukan.

Oleh itu perkara ini selari dengan matlamat SDG 5 iaitu kesaksamaan gender.

Sementara itu, penyertaan dan peluang mahasiswa atlet menyambung pengajian di IPT membantu kepada memacu mobiliti sosial, menyediakan peluang mengakses pendidikan tinggi dan memperoleh kemahiran secara menyeluruh selari dengan SDG 10 iaitu mengurangkan ketidaksamaan.

Selain itu, penyertaan dan pembudayaan aktiviti sukan oleh mahasiswa atlet di universiti membantu mempromosikan kepelbagaian dan inklusiviti, membawa orang dari latar belakang yang berbeza bersama-sama dan membina kesefahaman serta hormat menghormati antara satu sama lain.

Justeru, mahasiswa atlet adalah aset yang berharga bagi IPT dalam menyumbang kepada pencapaian bidang sukan dan akademik.

Sudah tiba masanya mahasiswa atlet disertakan bersama sebagai golongan yang penting untuk melengkapkan ekosistem di IPT ke arah menyokong kepada SDGs.

Maklumat Penulis

- Pensyarah Jabatan Iktisas Pendidikan dan Profesional, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Mohd Zulfadli Rozali

INFO

1) Inklusiviti merupakan prinsip utama dalam agenda pembangunan sosioekonomi Malaysia untuk memastikan rakyat, tanpa mengira gender, etnik, status sosioekonomi dan kedudukan geografi, menikmati manfaat pertumbuhan dan pembangunan

2) Inklusif bermaksud merangkum, termasuk dan menyeluruh.

3) Stereotaip ialah suatu tanggapan atau pemikiran yang ditetapkan terhadap sesetengah jenis orang atau benda tetapi sering kali tidak benar di dalam realiti.