Apabila wacana mengenai “pengiktirafan” orang kelainan upaya (OKU) dalam konteks Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dibincangkan, kefahaman awam sering terhenti pada simbol luaran.
Hakikatnya, TVET tidak sekadar menyediakan latihan kemahiran, tetapi mencetuskan perubahan paradigma yang menyentuh dimensi ekonomi, sosial, psikologi dan institusi kehidupan OKU. Pengiktirafan yang lahir daripadanya bukan bersifat kosmetik, tetapi bersifat transformatif.
Untuk memahami signifikan TVET, kita perlu terlebih dahulu meneliti kedudukan tradisional OKU dalam struktur sosial Malaysia. Selama puluhan tahun, OKU dilihat terutamanya melalui lensa kebajikan.
Mereka diletakkan sebagai penerima bantuan, subjek simpati, dan dalam banyak keadaan dianggap sebagai beban yang perlu diurus. Label ini bukan sekadar persepsi sosial, tetapi membentuk rangka keputusan institusi dan keluarga.
Ia menentukan jenis pendidikan yang dianggap sesuai, tahap kebebasan yang dibenarkan, serta peluang ekonomi yang ditawarkan atau dinafikan.
TVET memutuskan rantaian naratif ini secara mendasar. Melalui latihan berstruktur yang berlandaskan piawaian industri, OKU tidak lagi ditakrifkan oleh ketidakupayaan, tetapi oleh kompetensi.
Individu yang sebelum ini dilabel sebagai 'tidak berupaya bekerja' mula dikenali sebagai juruteknik terlatih, pembantu operasi mahir atau pengendali sistem yang berkecekapan tinggi. Perubahan label ini bukan sekadar pertukaran istilah, tetapi perubahan identiti sosial.
Di sinilah terletaknya pengiktirafan sebenar, apabila masyarakat berhenti melihat kekurangan dan mula mengiktiraf keupayaan.
Salah satu kekuatan utama sistem TVET Malaysia ialah keupayaannya menyediakan pengiktirafan formal yang setara.
Pensijilan seperti Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia dibangunkan berdasarkan standard kompetensi nasional yang sama, tanpa pemisahan atau stigma khas untuk OKU.
Verifikasi yang dilaksanakan memenuhi piawaian National Occupational Skills Standards (NOSS) dan melalui proses jaminan kualiti yang seragam.
Yang penting, sijil ini tidak membawa identiti kebajikan. Ia tidak dilabel sebagai 'sijil khas OKU', tetapi diiktiraf sebagai kelayakan profesional yang sah. Dalam sektor awam dan swasta, pemegangnya dinilai berdasarkan kemahiran dan prestasi, bukan latar belakang fizikal atau kognitif.
Data menunjukkan kadar kejayaan OKU dalam pensijilan TVET hampir setara dengan peserta tanpa ketidakupayaan, membuktikan bahawa jurang keupayaan bukan bersifat semula jadi, tetapi berkait rapat dengan akses dan sokongan yang disediakan.
Namun, pengiktirafan formal sahaja tidak mencukupi jika ia tidak diterjemahkan ke dalam peluang pekerjaan sebenar. Di sinilah cabaran paling kompleks muncul. Masih wujud persepsi majikan yang melihat OKU sebagai risiko, sama ada dari segi produktiviti, kos penyesuaian atau kesihatan.
Intervensi seperti latihan kesamarataan ketidakupayaan dan program pengurusan kembali bekerja mula menunjukkan kesan. Majikan yang mempunyai pengalaman langsung menggaji OKU terlatih melaporkan dapatan yang konsisten iaitu pekerja OKU menunjukkan tahap komitmen yang tinggi, kehadiran yang stabil dan produktiviti yang setanding dengan rakan sekerja lain.
Apabila OKU tidak lagi dilihat sebagai beban, tetapi sebagai aset, maka inklusiviti berhenti menjadi slogan dan mula berfungsi sebagai strategi organisasi.
Dimensi pengiktirafan yang paling konkrit ialah ekonomi. Sebelum akses kepada TVET, ramai OKU terperangkap dalam sektor informal dengan pendapatan rendah dan tanpa perlindungan sosial. TVET mengubah kedudukan ini dengan menyediakan laluan kepada pekerjaan formal dan pendapatan yang lebih stabil.
Pendapatan yang melebihi gaji minimum bukan sekadar angka, namun lebih kepada memberi makna kemandirian. Dengan pendapatan yang mencukupi, OKU mampu membuat keputusan hidup secara autonomi, daripada tempat tinggal sehinggalah perancangan masa depan.
Lebih penting, sistem TVET menyediakan laluan mobiliti kerjaya. Seseorang tidak terhenti pada satu tahap kemahiran, tetapi boleh meningkat melalui pengalaman dan latihan lanjutan. Laluan ini menukar pekerjaan kepada kerjaya dan kerjaya kepada masa depan.
Di sebalik angka dan polisi, kesan paling mendalam TVET terletak pada dimensi psikologi. Apabila OKU memperoleh kemahiran, pekerjaan dan pendapatan hasil usaha sendiri, persepsi terhadap diri berubah.
Keyakinan diri meningkat, rasa harga diri terbina, dan orientasi hidup menjadi lebih jelas. Mereka tidak lagi melihat diri sebagai individu yang perlu diselamatkan, tetapi sebagai individu yang mampu menyumbang.
Perubahan ini turut meresap ke dalam keluarga dan masyarakat. Ibu bapa yang dahulunya terlalu melindungi kini mula mempercayai kebolehan anak. Rakan sekerja yang sebelumnya ragu mula menghormati kompetensi. Proses ini walaupun perlahan, namun kesannya berpanjangan.
Pengiktirafan paling mendalam berlaku apabila OKU diintegrasikan sepenuhnya dalam struktur sosial dan ekonomi formal. Mereka menjadi pekerja, pembayar caruman keselamatan sosial dan penyumbang kepada ekonomi negara.
Status ini mengubah kedudukan sosial mereka daripada penerima kepada penyumbang. Ia adalah peralihan yang mengangkat martabat dan mengukuhkan rasa kebersamaan dalam masyarakat.
Walaupun kemajuan ketara telah dicapai, cabaran masih wujud. Tidak semua majikan bersedia, tidak semua tempat kerja mesra OKU, dan tidak semua sektor menghargai pengiktirafan formal. Namun, perubahan semakin jelas. Penyertaan OKU dalam TVET meningkat, kesedaran majikan bertambah, dan sokongan dasar semakin tersusun.
Sebagai kesimpulannya, TVET bukan sekadar laluan latihan untuk OKU. Ia adalah mekanisme pengiktirafan menyeluruh yang mengubah identiti, membuka peluang ekonomi, memperkukuh kesejahteraan psikologi dan membolehkan integrasi sosial sebenar.
Pengiktirafan ini bukan bersifat belas ihsan, tetapi berasaskan keupayaan dan sumbangan.
Apabila TVET berfungsi dengan baik, ia tidak hanya menyediakan pekerjaan, tetapi membina kehidupan yang bermaruah, berdaya tahan dan berorientasikan masa depan. Inilah makna sebenar pengiktirafan, dan inilah janji TVET yang wajar terus diperkukuh di Malaysia.
Maklumat penulis:
1. Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau, Nurul Nisha Mohd Shah
2. Pengarah Kreatif, Sixtysix Action Academy, Mohd Radzman Basinon