Detik gembira dan membanggakan dapat dilihat apabila pentas konvokesyen menjadi saksi dua beranak berjaya memperoleh Diploma Teknousahawan Rekabentuk dan Pengeluaran Fabrik pada Majlis Konvokesyen Perdana Institut Pendidikan MARA (IPMA) 2023.
Pasangan ibu dan anak yang merupakan penuntut Institut Kemahiran MARA (IKM) Alor Setar, Kedah, itu akhirnya membuktikan tiada halangan yang boleh dijadikan alasan untuk menyambung pengajian dalam apa jua bidang.
Bibah Hamidun, 43, ketika ditemui Sinar Bestari tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya kerana dapat menggenggam segulung diploma bersama anak sulungnya selepas dua tahun pengajian di IKM.
Menceritakan perjalanannya menyambung pengajian selepas tamat sijil jangka pendek selama enam bulan di Giat MARA, segala-galanya bermula ketika menghantar anak sulungya itu menghadiri temu duga di institusi berkenaan.
Tertarik melihat kursus yang ditawarkan lebih-lebih lagi dalam bidang pengeluaran fabrik, Bibah yang sebelum ini berjinak dalam perniagaan menjahit pakaian wanita mengambil keputusan untuk turut sama dalam temu duga berkenaan.
"Sebelum ini saya memang mengambil tempahan menjahit pakaian wanita seperti baju kurung, kebaya dan sebagainya.
"Tetapi apabila melihat IKM ada menawarkan pengajian menjahit pakaian lelaki, ia telah menjentik minat saya untuk mempelajarinya dengan lebih mendalam,” ujarnya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.
Ibu kepada dua anak itu menambah, walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran seperti perlu membahagikan masa antara pelajaran dan tanggungjawab sebagai ibu, ia sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk menamatkan pengajian di IKM.
Kini dia dapat membuktikan usia bukan penghalang untuk seseorang itu menggenggam segulung diploma dan momen itu turut dikongsi bersama anak sulungnya, Nur Anatasya Hasnizam.
Nur Anatasya, 24, ketika ditemui juga tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan bangga apabila dapat bersama-sama ibunya memakai jubah konvokesyen dan menerima pengiktirafan dalam bidang yang sama.
"Kebiasaannya, ibu-ibu yang akan tunggu di bawah pentas melihat anak menerima anugerah bersama bunga sebagai hadiah.
"Tetapi berbeza hari ini kerana ibu saya turut berada di atas pentas untuk sama-sama menerima anugerah dan ia membuatkan saya teruja serta seronok menyaksikan ibu tetap bersemangat hingga berjaya ke tahap ini,” tuturnya.
Dia juga memberitahu, pengalaman menuntut ilmu bersama ibu adalah satu kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayatnya dan ia menjadi dorongan agar tidak mudah berputus asa.
Ini kerana Nur Anatasya dan ibunya sering bertukar-tukar pendapat dan idea serta menerapkan amalan tolong-menolong dalam bidang yang dipelajari.
Lebih menyeronokkan mereka tidak pernah berselisih faham dan sentiasa menikmati proses pembelajaran supaya tidak menimbulkan rasa terbeban.
Dalam pada itu, mereka turut merancang untuk mengusahakan perniagaan menjahit pakaian antaranya pakaian wanita, lelaki dan langsir dengan lebih meluas pada masa akan datang.