Pelancaran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 menandakan satu titik perubahan penting dalam landskap pendidikan tinggi negara.
Dalam amanat pelancarannya, Perdana Menteri menegaskan keperluan mengangkat karamah insaniah sebagai teras pembangunan pendidikan tinggi.
Ia memberi suatu isyarat jelas bahawa universiti tidak lagi boleh diukur semata-mata melalui angka, kedudukan atau prestij simbolik.
Namun realitinya, pendidikan tinggi Malaysia masih berdepan satu persoalan besar yang belum terjawab sepenuhnya: Apakah peranan sebenar ranking universiti global di era RPTM?
Adakah penarafan seperti QS World University Rankings dan Times Higher Education (THE) masih relevan atau sudah tiba masanya kita membina kerangka kecemerlangan sendiri yang lebih berakar pada nilai, konteks nasional dan tuntutan masa hadapan?
Ranking sebagai petunjuk bukan kiblat
Tidak dinafikan, ranking global memainkan peranan tertentu dalam ekosistem pendidikan tinggi antarabangsa.
QS dan THE menyediakan petunjuk perbandingan yang digunakan oleh pelajar antarabangsa, rakan industri dan penaja untuk menilai reputasi, keterlihatan dan tahap pengantarabangsaan sesebuah universiti.
Dalam dunia yang semakin terbuka dan kompetitif, ranking membantu universiti memahami kedudukan relatif mereka di peringkat global.
Namun masalah sebenar bukan pada kewujudan ranking, tetapi pada cara ranking ditafsir dan digunakan.
Apabila ranking bertukar daripada alat penanda aras kepada matlamat mutlak, universiti berisiko terperangkap dalam budaya mengejar angka melalui bilangan penerbitan, sitasi, reputasi tinjauan - tanpa menyoal sama ada ukuran tersebut benar-benar mencerminkan misi pendidikan, keperluan masyarakat dan mandat nasional.
Sarjana seperti Elaine Hazelkorn (2014), Profesor dan Penasihat Pihak Berkuasa Polisi Pendidikan Tinggi Ireland, walaupun menerima ranking sebagai alat pengukuran kecemerlangan, namun mengkritik fenomena 'perlumbaan reputasi global' (global reputation race) dalam pendidikan tinggi, di mana universiti menyesuaikan strategi, struktur dan pelaburan semata-mata untuk memuaskan metodologi penarafan.
Dalam keadaan ini, ranking bukan lagi mencerminkan kecemerlangan, tetapi mengarah tingkah laku institusi.
Kayu ukur kecemerlangan IPT
RPTM 2026-2035 membuka ruang penting untuk Malaysia mentakrifkan semula makna kecemerlangan pendidikan tinggi.
Jika ranking global tidak lagi dijadikan ukuran utama, maka kayu ukur alternatif yang lebih adil dan kontekstual perlu dibangunkan secara serius dan konsisten.
Realitinya, antara ukuran kecemerlangan yang wajar diperkasakan ialah kualiti pengajaran dan pembelajaran, termasuk keupayaan graduan berfikir kritis, beretika dan adaptif dalam dunia kerja yang semakin tidak menentu.
Penyelidikan berimpak juga perlu dinilai bukan sekadar melalui sitasi, tetapi melalui pengaruhnya terhadap dasar awam, industri, kelestarian alam dan kesejahteraan masyarakat.
Universiti yang hebat bukan sekadar menghasilkan ilmu, tetapi memastikan ilmu itu sampai dan memberi manfaat kepada rakyat.
Tidak hairanlah kritikan yang semakin lantang hari ini ialah kecenderungan universiti menjadikan ranking sebagai projek institusi bersifat teknokratik yang gersang nilai karamah insaniahnya dan dalam sesetengah keadaan, sebagai simbol kejayaan kepimpinan individu.
Apabila ranking dijadikan naratif utama, pembinaan budaya ilmu yang memerlukan masa panjang dan kesabaran sering diketepikan.
Hari ini, terdapat lima buah Universiti Awam Malaysia yang berjaya menduduki carta 200 terbaik dunia dan hanya dua universiti yang berjaya menduduki carta 25 universiti terbaik Asia.
Persoalannya, jika penarafan QS atau THE menjadi kayu ukur mutlak kecemerlangan pendidikan tinggi negara, dalam tempoh 10 tahun mendatang, mampukah Universiti Awam lain memasuki gelanggang persaingan ini?
Persoalan ini mungkin terjawab apabila Lonjakan 7 iaitu Keunggulan Global mengemukakan antara langkah bagi memperkukuhkan kualiti institusi dan pengiktirafan global adalah dengan membangunkan metrik akuantabiliti serta menyelaras piawaian akreditasi dengan penanda aras global.
Ranking sekadar ilusi
Dalam era RPTM 2026-2035, pendidikan tinggi Malaysia tidak boleh lagi bersembunyi di sebalik carta dan band ranking.
Ranking bukan cerminan mutlak kecemerlangan dan lebih kerap ia menjadi ilusi kejayaan - kelihatan indah di atas kertas, tetapi rapuh dari segi makna dan sumbangan sebenar.
Universiti yang terlalu ghairah mengejar penarafan ranking berisiko tersasar daripada landasan nilai asas penubuhannya.
Apabila strategi institusi disusun untuk memuaskan metodologi penarafan, universiti akhirnya melahirkan lebih banyak angka daripada idea, lebih banyak reputasi daripada hikmah dan lebih banyak laporan daripada perubahan.
Pendidikan tinggi perlu berhenti meniru permainan global tanpa soal, dan mula membina acuan sendiri yang berpaksikan nilai, konteks nasional dan realiti masa hadapan.
Jika RPTM benar-benar dijadikan kompas, universiti kita berpeluang muncul sebagai institusi yang dihormati bukan kerana kedudukan di carta, tetapi kerana keberanian mempertahankan manusia dan peradaban.
Maklumat penulis
Pengarah, Pejabat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Terengganu, Zukiferee Ibrahim
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my