Pempengaruh mikro kini semakin penting dalam dunia pemasaran digital. Menurut laporan Influencer Marketing Hub (2024), 39 peratus jenama lebih suka bekerjasama dengan pempengaruh mikro (1,000–100,000 pengikut) kerana kadar penglibatan mereka jauh lebih tinggi berbanding selebriti besar.
Statistik menunjukkan kadar purata penglibatan pempengaruh mikro mencecah 3.86 peratus, hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding selebriti terkenal yang hanya sekitar 1.21 peratus.
Kini, dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI), peranan pempengaruh mikro dijangka berkembang lebih jauh. AI bukan sahaja menjimatkan masa, malah meningkatkan kreativiti serta keberkesanan pemasaran.
1. Kandungan lebih pantas dan kreatif
AI mampu menjimatkan masa pempengaruh dalam menghasilkan kandungan. Aplikasi seperti ChatGPT boleh membantu menulis kapsyen atau skrip video, manakala perisian generatif seperti MidJourney menghasilkan imej unik tanpa kos tinggi.
Alat video AI seperti Runway pula mempercepat proses suntingan sehingga tiga kali ganda.
2. Kenal pasti audiens lebih tepat
AI juga membantu pempengaruh mengenal pasti segmen peminat yang paling relevan. Contohnya, kategori kecantikan dan fesyen kini mendominasi pasaran global, diikuti kesihatan dan permainan digital.
Melalui analisis komen di media sosial, AI boleh menilai tahap kepuasan pengikut secara automatik — sesuatu yang sukar dilakukan secara manual.
3. Urus komuniti secara automatik
Ramai pengikut DM pempengaruh setiap hari. AI chatbot kini boleh membalas mesej dengan segera, meningkatkan kepuasan pengikut. Kajian Meta (2024) mendapati respon pantas meningkatkan peluang interaksi seterusnya sebanyak 45 peratus.
Selain itu, aplikasi AI seperti Hootsuite membantu menjadualkan posting pada waktu paling ramai audiens aktif.
4. Kolaborasi lebih telus dengan jenama
Platform seperti Upfluence menggunakan algoritma untuk padankan jenama dengan pempengaruh. Malah, AI mampu hasilkan laporan prestasi kempen secara automatik — contohnya kadar klik, jualan dan kos setiap interaksi. Ini menjadikan proses kolaborasi lebih telus dan meyakinkan.
5. Analisis prestasi secara terperinci
Dengan AI, pempengaruh boleh mengenal pasti pola kandungan yang paling berkesan. Contohnya, video TikTok berdurasi 15–30 saat terbukti mendapat lebih banyak tontonan berulang berbanding video panjang.
AI juga boleh mengesan trend semasa melalui carian Google dan data media sosial untuk meramal kandungan yang bakal tular.
6. Jana pendapatan lebih meluas
Pasaran pempengaruh global dijangka mencecah USD24 bilion pada 2025. AI membantu pempengaruh menjana pendapatan melalui pelbagai cara seperti pemasaran afiliasi (jual produk rakan kongsi), kandungan berbayar (Patreon, Discord), serta iklan berbayar di media sosial.
Malah, AI boleh mencadangkan kadar bayaran optimum untuk setiap siaran berdasarkan penglibatan pengikut.
7. Ruang kreativiti tanpa had
AI membolehkan kandungan diubah suai untuk pelbagai platform — satu video TikTok boleh diubah menjadi IG Reels atau YouTube Shorts secara automatik. Teknologi suara AI pula membolehkan pempengaruh menambah suara latar dalam pelbagai bahasa, sekali gus membuka peluang ke pasaran antarabangsa. Malah, avatar maya seperti Synthesia membolehkan mereka “hadir” tanpa perlu menayangkan wajah sebenar.
Kesimpulannya, AI bukan sekadar alat tambahan, tetapi sudah menjadi 'manager' baru kepada pempengaruh mikro.
Dengan kelebihan menjimatkan masa, meningkatkan kreativiti, dan mengurus pengikut dengan lebih efisien, pempengaruh mikro mampu bersaing dalam industri bernilai bilion dolar ini.
Masa depan mereka akan lebih berasaskan data, lebih peribadi, dan lebih berskala — dengan AI sebagai enjin utama yang menghubungkan kreativiti dengan keberkesanan.
Maklumat penulis:
1. Wan Mohd Hirwani Wan Hussain (UKM)
2. Siti Daleela Mohd Wahid (UiTM)