Management & Science University (MSU) menawarkan program Dual Campus dan Double Degree khususnya melibatkan dua buah negara, Malaysia dan Indonesia.
Inisiatif tersebut merupakan usaha menyokong Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkasa pendidikan negara ini lebih berkualiti dan diiktiraf di peringkat global.
Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, program Dual Campus melibatkan MSU Shah Alam dan MSU Jakarta, Indonesia, manakala program Double Degree pula adalah antara MSU dengan Universitas Airlangga (UNAIR) serta Jakarta Global University (JGU).
"Pelaksanaan program pengantarabangsaan (international partnership) ini dapat menyumbang kepada peningkatan aktiviti mobiliti inbound dan outbound melibatkan pelajar serta staf kedua-dua negara.
"Selain itu, program berkenaan dapat memperkasa kolaborasi dengan universiti terkemuka dunia khususnya dalam aspek penyelidikan dan kerjasama lain sekali gus membantu negara ini menjadi hab bakat yang diiktiraf di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran program Dual Campus dan Double Degree MSU oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Dewan Canselor MSU, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Hadir sama, Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid; Rektor UNAIR, Profesor Dr Mohammad Nasih; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Mohd Shukri menambah, kerjasama yang dilaksanakan tersebut turut melibatkan aktiviti-aktiviti yang menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals SDG).
Sehingga kini, beliau menjelaskan, MSU mempunyai lebih daripada 350 rakan strategik di serata dunia bagi menyokong program pengantarabangsaan melibatkan pelajar dan tenaga pengajar MSU bersama rakan universiti antarabangsa.
"Ia merangkumi program-program mobiliti, kolaborasi dalam bidang penyelidikan, penerbitan bersama, khidmat komuniti dan kolaborasi-kolaborasi lain.
"Dalam pada itu, sehingga kini, terdapat lebih 7,000 penyertaan mahasiswa melalui program mobiliti MSU iaitu Global Mobility Program (GMP), Global Leadership Program (GLP) dan Global Internship Program (GIP),” katanya.
Ujarnya lagi, penyertaan pelajar dalam program-program tersebut bukan sahaja dapat memperkasa kemahiran insaniah tetapi memperkukuhkan lagi penghayatan mereka terhadap aspek keunikan sosial dan budaya, perkongsian maklumat dan kemahiran, sistem pembelajaran dan pengajaran, jaringan kerjasama, memperoleh rakan-rakan baharu malah menjadi 'duta kecil' negara.
Beliau berkata, ia juga selaras dengan misi menempatkan negara ini sebagai hab pendidikan peringkat serantau dan global dengan sasaran menghasilkan lebih ramai mahasiswa antarabangsa dalam tempoh tiga tahun.