Bencana alam seperti banjir bukanlah perkara luar biasa yang berlaku dalam kehidupan kita.
Bila sudah sampai masanya, bencana ini akan datang hingga mengorbankan banyak nyawa, kerosakan harta benda dan kemusnahan infrastruktur yang teruk.
Tidak kurang juga, bencana banjir ini mampu meninggalkan kesan trauma yang mendalam kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
Baru-baru ini, Johor, Melaka dan Pahang telah dilanda musibah banjir.
Guru, pelajar dan ibu bapa merupakan antara mangsa banjir itu dan mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terpilih.
Menurut sebuah portal tempatan, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat pada awal kejadian.
Bagaimanapun, jumlah itu semakin menurun dan masing-masing sudah mula pulang ke rumah untuk proses pembersihan rumah.
Sinar Bestari percaya, membersihkan rumah selepas bencana banjir bukanlah mudah.
Pembersihan yang dilakukan itu memerlukan penglibatan ramai kerana banyak tenaga diperlukan bagi mencuci kediaman.
Selain sumber tenaga, mangsa banjir dinasihatkan untuk menggunakan peralatan bersesuaian sepanjang pembersihan dilakukan agar proses membersihkan kawasan rumah lancar.
Di sini, Sinar Bestari senaraikan tujuh peralatan yang boleh digunakan penduduk untuk mencuci rumah mereka.
Berikut adalah peralatan yang dimaksudkan!
1) Water Jet
Peralatan ini antara yang paling penting buat masa ini kerana menjimatkan masa dan tenaga ketika membersihkan lumpur yang terdapat di kawasan kediaman.
2) Penyodok Air
Memudahkan air dialirkan dan mengeringkan lantai dengan cepat.
3) Sarung tangan
Dinasihatkan memakai sarung tangan ketika membersihkan kediaman yang terlibat banjir supaya tangan tidak melecet dan selamat.
4) Pekakas Utiliti
Antaranya, berus, pisau utiliti, tukul, pengikis lantai, penyapu dan kaca mata pelindung. Pekakas utiliti seperti ini mampu melancarkan dan memudahkan proses pembersihan kediaman yang dilanda banjir.
5) Topeng Pelitup Muka
Peralatan ini untuk melindungi kesihatan anda apatah lagi ketika mencuci rumah yang dilanda bencana alam tersebut.
6) Dehumidifier
Merupakan sebuah mesin yang digunakan untuk mengurangkan dan mengawal kelembapan udara. Ia dicipta untuk menarik kelembapan dan mengeluarkan udara kering.
7) But Plastik Kalis Air
Bila banjir yang membawa lumpur, sudah pasti kita tidak dapat melihat sebarang binatang atau objek tajam yang ada di sekeliling. Justeru, but plastik kalis air ini sangat penting untuk mengelakkan kecederaan pada kaki.