"Kami sudah sepakat untuk memakai baju raya sedondon berwarna hitam, pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
"Namun, hasrat tersebut tidak kesampaian kerana dia pergi dahulu meninggalkan kami,” luah Muhammad Jamathir Ahmad Nordin, bapa kepada murid yang maut digilis treler Kampung Telok Gong, Klang, Selangor pada Rabu.
Menurut Muhammad Jamathir, anaknya, Nurul Jannatun Assyifa Muhammad Jamathir, 9, begitu teruja dengan baju raya berwarna hitam itu.
"Pakaian raya ini baru sahaja tiba di rumah minggu lalu. Arwah kelihatan seronok dan tidak sabar mahu memakainya. Tapi akhirnya...,” ujar Muhammad Jamathir ketika ditemui di Jabatan Forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, seperti dipetik menerusi portal tempatan.
Dalam kemalangan itu, Muhammad Jamathir berkata, anak bongsunya, Alif Zahfran Muhammad Jamathir, 7, turut terbabit dan hanya mengalami cedera ringan di bahagian kepala serta sedang dirawat di HTAR Klang.
"Sebelum kejadian, saya sempat bersalaman dengan anak-anak pada pukul 6.30 pagi.
"Bagaimanapun saya tidak boleh berbuat apa-apa apabila kemalangan berlaku dan reda dengan ketentuan ALLAH SWT,” ujarnya.
Semalam, satu kemalangan menyayat hati telah berlaku membabitkan seorang murid perempuan yang maut akibat digilis treler ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kampung Telok Gong.
Dalam kejadian tersebut, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala adik lelakinya yang turut membonceng dan jiran mereka yang menunggang motosikal cedera ringan.
Menurut Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada pukul 11.25 pagi.
Beliau berkata, setiba dilokasi, pihaknya mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah treler jensi Scania dan sebuah motosikal jenis Honda Dash.
"Treler berkenaan telah melanggar motosikal dinaiki mangsa bersama seorang wanita berumur 54 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki.
"Wanita itu adalah pengasuh yang mengambil mereka dari sekolah dan dalam perjalanan pulang,” ujar Morni.