Walaupun membariskan ramai pelakon baharu dalam Projek: High Council, namun drama tersebut berjaya mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan rakyat di negara ini.
Ini kerana drama yang diinspirasikan daripada kisah benar yang pernah terjadi di Malaysia iaitu isu kumpulan gangster High Council di sebuah sekolah berasrama penuh, benar-benar menarik perhatian penonton untuk kekal setia dengan drama berkenaan.
Projek: High Council yang membariskan para pelakon baharu yang berbakat dan berpotensi besar seperti Nadhir Nasar, Muhammad Amirul Aiman Azman, Amir Ahnaf, Naim Daniel, Daiyan Trisha, Sazzy Falak, Ben Tan dan ramai lagi mendapat pujian ramai kerana berjaya membawa watak masing-masing dengan sebaiknya.
Sinar Bestari salute dengan lakonan hebat kesemua pelakon. Memang bukan mudah untuk menjayakan watak namun jika berusaha keras, sudah pasti akan berjaya.
Hari ini, Sinar Bestari ingin kongsikan latar belakang tiga pelakon muda drama Projek: High Council yang berjaya dalam pelajaran dan sedang hebat mencipta nama dalam dunia lakonan.
Tiga pelakon muda itu terdiri daripada
1) Nadhir Nasar
Nadhir Nasar, 27, yang memegang watak Naim dilahirkan di California, Amerika Syarikat, dan menetap di sana selama empat tahun. Selepas itu, Nadhir kembali ke negara ini dan dibesarkan di Petaling Jaya, Selangor.
Nadhir merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM). Dia telah melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis sepanjang bergelar mahasiswa di universiti terbabit.
"Dulu aku seorang siswa yang tidak mempunyai laptop atas sebab-sebab tertentu. Namun, aku berjaya juga habiskan diploma dan ijazah.
"Alhamdulillah, kerja keras sepanjang pengajian hanya diri sendiri sahaja faham. Assignments pergi lab dan pinjam laptop member,” coretnya menerusi ciapan di Twitter.
Berakhirnya pengajian di UiTM, Nadhir mencuba peluang dengan menjadi seorang model dalam bidang peragaan.
Kemudian, dia menyertai pertandingan Hero Remaja 2020 dan akhirnya merangkul gelaran juara. Selepas itu, Nadhir mendapat pelbagai tawaran berlakon. Antara drama dibintanginya adalah Projek: Anchor SPM, I-Tanggang: Mother of All Lies, Tercipta Satu Ikatan dan Cerita Hantu Asrama.
2) Muhammad Amirul Aiman Azman
Muhammad Amirul Aiman Azman atau Mierul, 25, dilahirkan di Kuala Lumpur dan menetap di Putrajaya. Ayahnya berasal dari Felda Jengka 8, Pahang, manakala ibunya berasal dari Mentakab, Temerloh, Pahang.
Dia yang memegang watak Fakhri dalam drama Projek: High Council merupakan pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur, iaitu sekolah berasrama penuh.
Ketika bersekolah, Mierul begitu aktif dalam dua jenis sukan iaitu bola sepak dan ragbi. Ramai pelajar mengagumi bakat Mierul dan kata mereka, gaya Mierul ketika di padang bagaikan seorang pemain profesional.
Tamat sekolah menengah, Mierul mendapat tawaran untuk menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Selangor (UNISEL). Selepas itu, dia terus aktif dalam bidang peragaan bermula tahun 2016 dan dinobatkan sebagai juara bagi Hero Remaja 2021.
3) Amir Ahnaf
Amir Ahnaf, 23, yang memegang watak Kahar dilahirkan dan dibesarkan di Terengganu. Dia merupakan anak sulung daripada sembilan adik beradik.
Amir seorang pelajar cemerlang dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu, Terengganu, dan menjawat jawatan sebagai Presiden Badan Wakil Pelajar.
Sejak di Tingkatan Satu, dia aktif menyertai silat dan selain itu Amir pernah menyertai pasukan ragbi sekolah dan menyertai pelbagai jenis pertandingan termasuklah pertandingan taranum al-Quran dan azan.
Pada masa yang sama, Amir pernah menubuhkan sebuah band sendiri ketika berada di MRSM Kuala Terengganu dan merupakan vokalis utama.
Dalam bidang seni, Amir bermula dengan menjadi salah seorang peserta Hero Remaja 2021. Dia kemudiannya mendapat beberapa tawaran berlakon termasuklah drama Projek: High Council.
Melihatkan biodata mereka, Sinar Bestari yakin anak-anak muda ini mampu menjadi pelakon hebat satu hari nanti.
Ini kerana mereka sudah meraih kecemerlangan dalam pelajaran dan tidak mustahil mereka mampu menjadi lebih hebat dalam dunia lakonan.
Justeru, kepada pelajar di luar sana yang ingin menceburi bidang seni, pastikan anda berjaya dalam pelajaran terlebih dahulu sebelum memilih dunia seni sebagai sumber pendapatan.