Dilantik sebagai Guru Besar atau Pengetua di sekolah masing-masing merupakan impian ramai pendidik di negara ini.
Bagaimanapun perlu diingatkan, tugas dan tanggungjawab sebagai Guru Besar atau Pengetua bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh.
Banyak perkara yang perlu dinilai sebelum mereka yang layak dapat menjadi pemimpin sekali gus menerajui sekolah terbabit.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Segali, Simunjan, Sarawak, Cikgu Osman Zaini berkata, individu yang dipilih menjadi Guru Besar atau Pengetua haruslah memiliki ketekunan, kesabaran, daya ketahanan jiwa serta mental yang kuat, kesungguhan dan sebagainya.
Malah tambah beliau, mereka juga perlu bijak membuat keputusan untuk kecemerlangan sekolah.
Ujar Cikgu Osman, pemimpin sekolah berhadapan dengan pelbagai situasi setiap hari dan ini memerlukan satu keputusan bijak yang perlu dibuat oleh mereka.
Cikgu Osman yang merupakan graduan lulusan Sarjana Pendidikan (Pengurusan Pendidikan), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberitahu, terdapat beberapa panduan penting perlu dilakukan bagi guru-guru yang sedang dan bakal menjadi Guru Besar atau Pengetua.
Panduan penting yang dipetik Sinar Bestari menerusi laman Facebooknya begitu menarik untuk rujukan mereka yang berkaitan.
Jom kita ikuti apa kata Cikgu Osman kepada bakal guru atau sedang menjawat jawatan sebagai Guru Besar atau Pengetua kini.
*****
Aturan hidup masyarakat abad kini semakin mencabar. Mereka adalah masyarakat yang berorganisasi iaitu masyarakat yang tersusun dan berperaturan.
Manusia dilahirkan di dalam organisasi, menerima pelajaran di dalam organisasi dan kebanyakan daripada masa dihabiskan di dalam organisasi seperti di rumah, sekolah, jabatan, persatuan dan sebagainya.
Oleh kerana masyarakat moden hari ini lebih mengutamakan rasionalisasi, keberkesanan dan prestasi, maka peranan organisasi semakin kritikal dan mencabar.
Justeru, kaedah mengkordinasikan kegiatan organisasi manusia haruslah ditentukan dan disalurkan melalui kepimpinan atau pengurusan yang berkesan.
Pada era globalisasi kini, pendidikan di negara ini semakin mencabar dan sedang bergerak seiring negara maju ke arah globalisasi pendidikan.
Peranan dan tugas guru amatlah besar dan luas. Pemimpin sekolah adalah agen utama untuk memastikan perjalanan sekolah sentiasa dalam laluan kejayaan.
Salah satu tugas penting pengurus dalam melaksanakan fungsi pengurusan ialah menjadi pembuat keputusan.
Guru Besar atau Pengetua berhadapan dengan pelbagai situasi pada setiap hari yang memerlukan keputusan dibuat.
Keputusan adalah satu pilihan daripada pelbagai alternatif tindakan untuk berhadapan dengan masalah.
Jika kita fikirkan bersama, boleh dinyatakan di sini setiap apa jua keputusan diputuskan dan diarahkan oleh Guru Besar atau Pengetua mempunyai signifikannya sendiri.
Secara lahiriahnya kita sedar sebelum membuat sesuatu keputusan banyak aspek yang perlu diambil kira.
Contohnya perlu mengambil kira atmosfera semasa, emosi, tujuan, impak sebelum dan selepas, kepentingan dan sebagainya.
Perkara sebeginilah yang berlegar-legar dan menjadi dilema bagi Guru Besar atau Pengetua semasa mempertimbangkan sesuatu keputusan.
Ini disokong oleh Samsudin Wahab (2005), menyatakan antara ciri-ciri atau perkara yang perlu dipertimbangkan oleh pentadbir apabila membuat keputusan ialah keputusan tersebut perlu diputuskan oleh seseorang yang benar-benar layak dan sesuai dengan jawatannya serta keputusan itu tidak bertentangan dengan dasar organisasi yang perlu menyokong pencapaian matlamat organisasi.
Selain itu, untuk mencapai keputusan efektif memerlukan masa yang mencukupi namun tidak bermakna boleh ditangguhkan.
Dalam membincangkan hal ini, empat aspek utama perlu dititikberatkan iaitu keadaan emosi, kesediaan mengambil risiko, penerimaan kritikan dan faktor-faktor membuat keputusan.
Emosi merupakan faktor penting. Dalam apa jua perkara, faktor ini perlu diutamakan. Ia mudah sahaja, jika emosi sentiasa dalam keadaan yang stabil, segala perjalanan kerja dan aktiviti akan berjalan lancar.
Emosi terbahagi kepada dua iaitu emosi positif dan negatif.
Untuk melancarkan pengurusan dan pentadbiran serta melicinkan perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran, Guru Besar atau Pengetua haruslah menjadi orang pertama yang mempunyai emosi positif.
Contohnya dalam situasi guru yang lewat hadir atau tidak dapat hadir bertugas.
Sebagai seorang pemimpin sekolah, mereka haruslah sentiasa dalam keadaan emosi yang positif.
Guru Besar atau Pengetua haruslah mendengar dahulu permasalahan mereka dan baharulah dapat membuat keputusan yang membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak.
Apabila membuat keputusan, pengurus perlu melalui beberapa langkah supaya keputusan yang dibuat adalah baik dan tepat.
Oleh itu, pentadbir perlu mempunyai kemahiran membuat keputusan kerana setiap keputusan mempunyai impak ke atas mereka yang berada di bawah kepimpinannya.
Keupayaan seorang pentadbir membuat keputusan yang betul dan tepat boleh menjadi ukuran keberkesanannya sebagai pemimpin organisasi.
Keputusan silap yang dibuat oleh pentadbir tidak akan meningkatkan pencapaian organisasi.
Seterusnya adalah kesediaan mengambil risiko. Umum ketahui tahap penglibatan guru dalam membuat keputusan masih rendah dan tidak berani membuat keputusan.
Salah satu penyebab yang menyumbang kepada faktor tersebut ialah pentadbir takut untuk mengambil risiko.
Setiap perkara yang kita lakukan sememangnya akan memberi risiko kepada kita.
Selepas seseorang individu membuat keputusan, antara kesannya ialah kekesalan atau kepuasan hati.
Sagi dan Friedland (2007) membuktikan seseorang akan menyesal dengan keputusan telah dibuat dan tahap kekesalannya adalah bergantung kepada bilangan pilihan yang ada semasa proses membuat keputusan.
Kajian Sagi dan Friedland ini menyimpulkan individu berasa menyesal kerana ia merasakan boleh membuat keputusan yang lebih baik dengan meneliti lebih banyak maklumat dan menimbangkan pro dan kontra bagi setiap pilihan.
Inilah antara contoh risiko yang terpaksa di tanggung oleh Guru Besar atau Pengetua semasa membuat keputusan.
Baik dan buruk sesuatu keputusan adalah tanggungjawab yang harus dipikul dan dijadikan risiko.
Ini bermakna Guru Besar atau Pengetua haruslah mempunyai satu mentaliti yang kuat berkaitan risiko ini iaitu berani menghadapi risiko sama ada memberi impak yang positif atau negatif.
Penerimaan kritikan juga merupakan salah satu elemen yang penting. Guru Besar atau Pengetua haruslah memainkan peranan yang penting dan menunjukkan satu contoh sebagai suri teladan (role model) dalam membuat keputusan.
Dalam menerima kritikan, Guru Besar atau Pengetua haruslah bersedia dengan respon yang bernas agar dapat meyakinkan para guru dan memberi imej yang positif kepada dirinya sendiri.
Kritikan yang dilontarkan biasanya bersifat menegur ke arah yang lebih baik dan kehadapan. Jelaslah di sini Guru Besar atau Pengetua haruslah bersedia dengan segala kritikan apabila membuat sebarang keputusan.
Secara umumnya, teori membuat keputusan terbahagi kepada dua aliran iaitu normatif dan deskriptif.
Teori normatif menerangkan apakah keputusan yang patut dibuat, manakala teori deskriptif menerangkan bagaimana sesuatu keputusan itu dibuat.
Memang tidak dinafikan banyak halangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi dalam mencapai sesuatu kejayaan.
Tiada kejayaan yang akan datang bergolek. Walau apa pun halangan dan cabaran, pastinya akan ada penyelesaian yang positif.
Akhir sekali, amalan membuat keputusan ini akan memberi impak yang baik dan membawa keuntungan serta peningkatan prestasi organisasi sekolah.
Dan ini merupakan salah satu ciri yang penting kepada kepimpinan seseorang Guru Besar atau Pengetua.
Pentadbir dan guru-guru perlu sentiasa berusaha ke arah kecemerlangan sekolah dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar agar menghasilkan modal insan yang berkualiti demi pembangunan negara dan ummah.
Namun, dalam merealisasikan visi dan matlamat yang dirangka dan memupuk budaya sekolah yang cemerlang, warga sekolah perlulah berhadapan dengan banyak keputusan yang dibuat oleh pentadbir.