Mohon KPM keluarkan pekeliling dan garis panduan kebebasan bersuara guru di media sosial - Dr Anuar

Iklan
Kredit foto: Burst/Unsplash

Selain menjadi tempat penyebaran berita atau maklumat, media sosial dilihat sebagai medan atau alat untuk individu meluah isi hati.

Ia termasuklah guru-guru yang menjadikan laman sosial sebagai ruang perkongsian hal berkaitan dunia pendidikan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun ruang tersebut agak terhad kerana guru-guru di negara ini terikat dengan pelbagai peraturan.

Baru-baru ini, Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) dan garis panduan untuk membenarkan guru bersuara dengan bebas melalui media sosial.

Iklan

Katanya, langkah itu penting bagi memudahkan cikgu menggunakan ruang yang ada untuk menyuarakan keluhan mereka.

Ujarnya lagi, sekiranya mahu menunggu pertemuan tertutup, ia mungkin mengambil masa yang lama sedangkan media sosial dapat memberi manfaat kepada sistem pendidikan negara jika digunakan secara baik dan konstruktif.

Iklan

"Guru-guru adalah pelaksana dan mereka tahu apa yang berlaku di lapangan atau di dalam bilik darjah.

"Jadi dengan bersuara dan memberikan pandangan tersebut, secara langsung pemimpin pendidikan meliputi menteri, timbalan menteri dan pegawai tertinggi di kementerian tahu apa yang sedang berlaku,” ujarnya.

Menurut Anuar, garis panduan yang bakal disertakan itu perlu dilengkapkan dengan segala maklumat supaya pendidik mengetahui sejauh mana mereka dibenarkan bersuara di media sosial.

"Bila ada satu garis panduan yang jelas, guru-guru mungkin tidak akan mengeluarkan perkataan yang tidak baik, mengaibkan mana-mana pihak, tohmahan, celahan dan fitnah.

"Lagipun, menteri sudah beri arahan yang beliau membenarkan guru bersuara secara baik dan konstruktif, namun mesti ada garis panduan yang perlu diikuti oleh guru, pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan KPM," jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meminta budaya memberi amaran kepada guru yang menyuarakan kebimbangan berhubung sesuatu isu menerusi media sosial dihentikan segera.

Beliau berkata, ruang kritikan konstruktif penting sebagai proses semak dan imbang mengikut saluran.

"Saya dimaklumkan guru pendidikan khas, Hasmadi Hamdan, diberi amaran oleh pegawai kerana mengkritik di media sosial.

"Saya mohon dihentikan budaya ini dengan kadar segera. Pendekatan administratif yang baik hanya boleh dicapai apabila wujud ketelusan di peringkat bilik darjah, sekolah dan pejabat pendidikan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.