Bulan puasa amat sinonim masyarakat kita dengan bazar Ramadan yang menjadikan bulan ini lebih istimewa.
Mana tidaknya, keunikan dengan kepelbagaian juadah berbuka puasa yang dijual di bazar menyebabkan ramai pengunjung berasa teruja untuk membeli sehingga mendorong kepada risiko pembaziran makanan.
Bagi golongan yang bekerja seperti ibu bapa atau guru yang tidak sempat untuk menyiapkan juadah berbuka akan memilih untuk membeli sahaja di bazar Ramadan yang dianggap lebih mudah dan cepat.
Tidak dinafikan mengunjungi gerai makanan ketika perut kosong akan mendorong kepada pembelian yang banyak sehingga menyebabkan pembaziran.
Justeru, bagi mengelakkan perkara ini berlaku Sinar Bestari tertarik untuk berkongsi tip terutamanya kepada ibu bapa dan guru untuk menyimpan lebihan makanan berbuka agar dapat mengelakkan pembaziran lebih-lebih lagi di bulan mulia ini.
Pada masa yang sama, ia juga dapat mengurangkan risiko keracunan anak-anak yang boleh menjejaskan kesihatan mereka.
Jom baca!
Tip menyimpan lebihan makanan Ketika berbuka puasa
1) Simpan dalam bekas bersih dan tertutup
Makanan yang tidak dihabiskan ketika berbuka puasa, hendaklah disimpan di dalam bekas yang bersih dan tertutup. Ini untuk memastikan makanan berkenaan tidak tercemar dengan haiwan seperti lalat di mana ia membuatkan makanan itu cepat lembik dan berair. Risiko kepada mereka yang memakannya pula adalah boleh mengundang keracunan makanan.
2) Asing lebihan juadah dengan bahan mentah
Salah satu punca keracunan makanan adalah disebabkan oleh penyimpanan makanan yang tidak betul. Justeru, asingkan lebihan juadah berbuka dengan bahan mentah di tempat yang sepatutnya. Ini kerana bahan mentah mempunyai bakteria yang boleh membiak pada makanan dan ia juga boleh membahayakan sesiapa sahaja yang makan makanan tersebut.
3) Panaskan makanan dengan betul
Juadah yang ingin dimakan semula sama ada ketika waktu sahur atau moreh hendaklah dipanaskan dengan betul bagi mengurangkan risiko keracunan makanan. Panaskan sehingga ia mengeluarkan wap, menggelagak atau mendidih dengan betul. Sebaiknya, pastikan makanan itu dipanaskan pada suhu 75 darjah celsius untuk sekurang-kurangnya dua minit.
Sinar Bestari juga ingin mengingatkan supaya lebihan makanan tidak disimpan melebihi dua hari kerana kualiti, sebaliknya untuk sentiasa berjimat cermat ketika membeli juadah berbuka puasa.