Litar Perlumbaan Peribahasa jadikan PdPC Bahasa Melayu lebih interaktif

Iklan
Dr Abdul Ghani (dua dari kanan) tampil memperkenalkan satu inovasi yang dinamakan Litar Perlumbaan Peribahasa, yang telah terbukti berkesan menarik minat pelajar dan meningkatkan penguasaan peribahasa dalam kalangan mereka.

Dalam arus pendidikan masa kini yang menekankan pendekatan pengajaran interaktif dan berpusatkan pelajar, peranan guru menjadi tunjang utama dalam merealisasikan pembelajaran bermakna.

Sebagai contoh, inovasi dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) bukan sekadar memenuhi kehendak kurikulum, tetapi juga menjadi strategi untuk memastikan penguasaan ilmu berlaku secara menyeronokkan.

Iklan
Iklan

Menyedari hakikat ini, Guru Cemerlang Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, Kedah, Dr Abdul Ghani Jalil tampil memperkenalkan satu inovasi yang dinamakan Litar Perlumbaan Peribahasa, yang telah terbukti berkesan menarik minat pelajar dan meningkatkan penguasaan peribahasa dalam kalangan mereka.

"Penggunaan peribahasa merupakan satu aspek penting dalam penguasaan Bahasa Melayu, khususnya dari segi kemahiran menulis dan memahami budaya bangsa.

Iklan

"Namun begitu, pelajar sering mengalami kesukaran untuk memahami dan mengingati maksud peribahasa kerana kaedah penyampaian yang kurang menarik.

Iklan

"Oleh itu, Litar Perlumbaan Peribahasa dicipta sebagai alternatif yang menggabungkan elemen pembelajaran dan permainan edutainment untuk menjadikan sesi PdPC lebih hidup dan efektif," katanya kepada Sinar Bestari.

Menurut Dr Abdul Ghani, terdapat lima objektif inovasi Litar Perlumbaan Peribahasa yang digariskan olehnya iaitu:

1) Meningkatkan kefahaman dan penguasaan peribahasa dalam kalangan pelajar secara aktif dan menyeronokkan.

2) Menyediakan alat bantu mengajar yang bersifat interaktif dan bersesuaian dengan pelbagai tahap keupayaan pelajar.

3) Meningkatkan penglibatan pelajar dalam aktiviti PdPC melalui pendekatan berasaskan permainan game-based learning.

4) Membantu guru melaksanakan kelas ganti secara bermakna tanpa mengabaikan kandungan kurikulum.

5) Menyemai nilai murni seperti kerjasama, hormat-menghormati dan semangat bersaing secara sihat.

Sambung Dr Abdul Ghani lagi, inovasi itu berbentuk permainan papan yang menampilkan laluan litar lumba dengan pelbagai petak berisi peribahasa.

Katanya, pelajar bergerak mengikut undian dadu dan akan diuji dengan soalan atau kad peribahasa yang perlu dijawab atau dihuraikan.

Kongsi guru ini lagi, terdapat beberapa komponen utama dalam inovasi yang dibangunkan iaitu:

1) Kad Peribahasa: Mengandungi gambar, peribahasa, maksud dan penggunaan dalam ayat.

2) Dadu dan Penanda Pemain: Untuk interaksi dan pergerakan dalam permainan.

3) Papan Litar: Direka secara visual menarik dengan unsur kartun dan perlumbaan.

4) Elemen Gamifikasi: Memberikan ganjaran atau penalti bagi setiap tindakan, menambah elemen cabaran.

Akhir sekali, Dr Abdul Ghani berkata, Litar Perlumbaan Peribahasa bukan sekadar alat bantu mengajar, tetapi manifestasi kepada usaha guru untuk menjadikan pembelajaran Bahasa Melayu lebih segar, kreatif dan berimpak tinggi.

"Ia wajar dimiliki oleh setiap pendidik yang komited dalam menjadikan bilik darjah sebagai ruang yang penuh inspirasi.

"Dengan menggabungkan ilmu, teknologi dan sentuhan kreatif, inovasi ini terbukti mampu mengubah landskap PdPC ke arah yang lebih progresif," jelasnya lagi.