Seperti yang sedia maklum, al-Quran merupakan kalam ALLAH penuh dengan petunjuk dan panduan bagi umat manusia terutamanya mereka yang beragama Islam menjalani kehidupan dengan taat.
Ia juga telah digunakan sejak zaman dahulu dan masih suci terpelihara sehingga ke hari ini di mana isi dalamnya tidak pernah berubah dan menampakkan keaslian kitab suci itu.
Sebaik-baik buku juga adalah al-Quran yang penuh dengan ilmu pengetahuan termasuklah beberapa perkara lain yang berkaitan seperti moral, tingkah laku yang baik serta kejadian alam.
Untuk itu, bersempena dengan Nuzul al-Quran yang disambut setiap 17 Ramadan, Sinar Bestari ingin berkongsi ganjaran dan kelebihan kepada mereka terutamanya golongan pelajar sekolah yang membaca kitab suci tersebut walaupun hanya sepotong ayat.
Jom kita lihat.
1) Pahala dan kebaikan
Dengan mengaji al-Quran ia dapat menjadikan keadaan persekitaran lebih tenang, aman dan penuh dengan keberkatan. Justeru, bagi sesiapa yang menjadikan amalan mengaji al-Quran sebagai satu tabiat, mereka akan mendapat pahala yang berlipat ganda selain turut diberi kebaikan oleh ALLAH SWT sebagai seorang yang soleh.
Ia juga telah terbukti berdasarkan firman ALLAH SWT yang bermaksud,"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab ALLAH dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; Supaya ALLAH menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).” (Surah Al-Fathir ayat 29-30).
2) Dilindungi malaikat
Dengan membaca atau mengaji al-Quran dalam keadaan hati yang sabar dan tenang akan mendapat rahmat daripada ALLAH dan para malaikat juga memberi perlindungan dari segala kejahatan sama ada yang dapat dilihat atau tidak. Ia sama seperti kita membaca doa dan meminta pertolongan daripada ALLAH dan doa-doa tersebut datangnya daripada ayat yang terkandung di dalam al-Quran.
3) Diberi syafaat
Mengaji al-Quran turut mendatangkan kebaikan, kemuliaan serta syafaat yang pastinya tidak pernah dibayangkan oleh manusia. Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud,"Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (Surat Al-A’raaf ayat 204). Ini telah membuktikan mereka yang membaca al-Quran walaupun hanya sepotong ayat akan mendapat syafaat yang tidak ternilai dari ALLAH.
4) Selamat di dunia dan akhirat
Hati yang ikhlas dalam mengaji dan membaca al-Quran dapat membantu menyelamatkan diri seseorang dari segala kejahatan yang dapat dilihat atau tidak oleh mata kasar. Ini dapat dibuktikan dari firman ALLAH SAW yang bermaksud,"Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata:"Cukuplah ALLAH untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami.)” Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari ALLAH, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan ALLAH. Dan ingatlah), ALLAH mempunyai limpah kurnia yang amat besar.” (Surah Ali Imran ayat 173 -174).
5) Membentuk peribadi yang baik dan positif
Siapa sangka amalan mengaji al-Quran juga mampu membentuk peribadi seseorang menjadi lebih baik dan positif. Ini kerana dengan membaca kitab suci itu, hati akan lebih tenang dan aman selain mengawal diri daripada nafsu yang tidak baik. Ia juga sesuai dengan firman ALLAH SAW yang bermaksud,"Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau peroleh dari ALLAH sesuatu pun yang dapat mengawal dan memberi perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini).” (Surah Ar-Ra’d ayat 37)