Gemar kongsi tutorial buat nota di TikTok, pelajar berjaya buktikan belajar bukan satu perkara membebankan

Iklan
Nota yang cantik dan menarik mampu membuatkan pelajar lebih berminat untuk membaca serta mengulang kaji pelajaran.

Pasti ramai pelajar berdepan dengan masalah seperti rasa malas hendak mengulang kaji pelajaran apatah lagi membaca buku atau nota disebabkan nota-nota yang ditulis tidak menarik dan membosankan.

Justeru, sebagai pelajar, kemahiran mengambil dan mencatat nota adalah satu tanggungjawab dalam proses pembelajaran bagi tujuan mengulang kaji dengan lebih efektif.

Iklan
Iklan

Seperti yang diketahui, mencatat nota merupakan satu seni kerana nota yang sistematik, tersusun dan ditulis dalam bentuk menarik dapat membantu meningkatkan daya ingatan sekali gus mudah memahami setiap ilmu yang dipelajari.

Baru-baru ini, Sinar Bestari tertarik melihat perkongsian video seorang pelajar di aplikasi TikTok yang berkongsi teknik dan kaedah menghasilkan nota-nota pembelajaran kepada 57,600 pengikutnya.

Izzatul Muna

Iklan

Izzatul Muna Azlan, pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Tahfiz Al-Abidin, Kedah, tidak lokek untuk berkongsi cara mengulang kaji itu malah gembira apabila semakin ramai rakan-rakan mula mengikuti kaedah tersebut dan menjadikannya sebagai sumber rujukan.

Kata Izzatul Muna, kecenderungan untuk menghasilkan nota-nota yang menarik dan cantik itu adalah kerana minatnya dalam bidang seni lukisan dan cuba mengaplikasikan perkara tersebut dalam setiap nota yang dihasilkan.

Iklan

Tambahnya lagi, dengan mencatat dan menghasilkan nota yang bukan sahaja cantik dan menarik tetapi juga ringkas lebih memudahkan pemahaman serta mengukuhkan ingatannya.

"Kebanyakan nota ringkas yang saya hasilkan adalah untuk mata pelajaran seperti Sejarah mengikut topik dan subtopik.

"Lepas pulang dari sekolah sekitar jam dua hingga tiga memang masa dihabiskan dengan membaca dan menghasilkan nota-nota yang kreatif.

"Kemudiannya, nota-nota ini akan dibaca semula sama ada selepas subuh atau waktu lapang bagi tujuan menghafal topik yang dipelajari,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.

Mengulas lanjut tentang bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan nota yang kreatif tersebut, Izzatul Muna memberitahu, dia tidak menggunakan pen atau alat tulis yang mahal sebaliknya ia boleh didapatkan di kedai murah.

Jelasnya, walaupun bahan menulis antaranya pen warna, highlighter serta pelekat yang comel tidak mahal seperti dijual di kedai-kedai alat tulis popular namun ia bukan alasan untuk tidak boleh menjadi kreatif.

"Bagi saya, meskipun alat yang digunakan murah tetapi boleh menghasilkan bahan bacaan cantik dan menarik sudah cukup membuktikan kreativiti seseorang sebenarnya lebih mahal.

"Ini sedikit sebanyak membantu pelajar seperti saya untuk merasa lebih teruja dan seronok membaca bahan tersebut,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, anak kelahiran negeri jelapang padi itu turut memaklumkan bahawa nota yang dihasilkannya bukan sekadar suka-suka tetapi mahu lebih memahami apa yang dipelajari setiap hari.

Selain itu, melihat kepada perkembangan teknologi di mana rata-rata pelajar hari ini mula menggunakan tablet atau Ipad untuk mencatat nota, Izzatul Muna masih berpendapat kaedah menulis di atas kertas lebih efektif.

"Boleh sahaja sekiranya hendak menggunakan tablet untuk menulis nota tetapi tidak semua orang mampu beli.

"Sekiranya menulis di atas kertas ia lebih jimat dan semua orang boleh cuba membuatnya,” tuturnya.

Dalam pada itu, video tutorial menghasilkan nota cantik dan menarik yang dikongsi di akaun TikTok miliknya mendapat hampir 300,000 tontonan dan 40,000 tanda suka.