Menghafaz 30 juzuk al-Quran bukanlah satu perjalanan mudah. Ia menuntut kesungguhan, disiplin tinggi dan pengorbanan masa, lebih-lebih lagi apabila perlu diseimbangkan dengan tuntutan akademik.
Namun, cabaran itu berjaya ditempuh oleh 132 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Lumpur apabila kesemua mereka berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran.
Kejayaan Batch Irenic 35 itu menjadi kohort pertama sekolah tersebut dalam mencapai 100 peratus khatam hafazan sejak Program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) diperkenalkan secara rasmi pada 16 Januari 2014.
Pencapaian bersejarah berkenaan diraikan menerusi Majlis Graduasi Tingkatan 5 dan Khatam Hafazan al-Quran Kali Ke-9 Tahun 2026, sekali gus menjadi detik penuh kesyukuran buat pelajar, guru dan ibu bapa selepas lima tahun melalui perjalanan pendidikan yang mencabar.
Pengetua SMKA Kuala Lumpur, Ustaz Wan Jamaludin Wan Bidin merakamkan penghargaan terhadap kesungguhan pelajar, ketekunan guru dalam memberikan bimbingan serta sokongan berterusan ibu bapa sehingga kesemua pelajar kohort berkenaan berjaya menyempurnakan hafazan.
"Kejayaan itu mencerminkan usaha bersama dalam membimbing pelajar mengimbangi tuntutan akademik dengan disiplin menghafaz dan mengulang ayat-ayat al-Quran," katanya dalam ucapan aluan pada majlis tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) Tingkatan Lima, Capt MS Affendy Abd Rani berkata, pencapaian 132 pelajar tersebut turut membawa makna besar kepada ibu bapa yang mengikuti perkembangan anak-anak sepanjang lima tahun di sekolah berkenaan.
Menurutnya, perjalanan menghafaz 30 juzuk al-Quran bukan sesuatu yang mudah apabila pelajar perlu bijak mengurus masa dan memberikan komitmen terhadap pembelajaran akademik pada masa sama.
Beliau berkata, ibu bapa sendiri menyaksikan pelbagai cabaran yang dilalui anak-anak sebelum akhirnya kesemua mereka berjaya menyempurnakan hafazan.
"Apabila kesemua 132 pelajar akhirnya berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk, perasaan syukur dan sebak itu sukar digambarkan. Paling bangga, mereka melakar sejarah sebagai kohort pertama yang mencapai 100 peratus khatam hafazan sejak TMUA diperkenalkan di sekolah ini," katanya.
Dalam pada itu, Capt Affendy turut menzahirkan penghargaan kepada Ustaz Wan Jamaludin serta barisan pentadbiran sekolah, guru tahfiz dan guru akademik yang memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar sehingga mencapai sasaran berkenaan.
Penghargaan sama turut diberikan kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Azizulmalik Mohd Hussain Malim bersama seluruh jawatankuasanya atas sokongan dan komitmen dalam menjayakan usaha pihak sekolah serta KSIB.
Beliau juga tidak melupakan sumbangan ibu bapa dan ahli jawatankuasa KSIB yang sentiasa meluangkan masa, tenaga serta berkongsi idea demi memastikan kebajikan dan perkembangan pelajar terus diberi perhatian.
"Terima kasih kepada semua ibu bapa dan ahli jawatankuasa KSIB yang menyumbang masa, tenaga serta buah fikiran.
"Doa, pengorbanan dan kesediaan semua untuk saling membantu amat bermakna dalam usaha mencapai sasaran bersama ini," katanya.
Jelasnya, sokongan yang digerakkan secara bersama oleh pihak sekolah, PIBG, KSIB dan ibu bapa menjadi antara faktor penting dalam menyediakan bimbingan serta dorongan berterusan kepada pelajar sepanjang tempoh hafazan.
Mengulas harapan terhadap pencapaian itu, Capt Affendy berharap kejayaan Batch Irenic 35 dapat menjadi pembakar semangat kepada kohort seterusnya untuk meneruskan kecemerlangan, khususnya ketika membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan menamatkan hafazan perlu disusuli dengan usaha berterusan untuk memelihara dan mengamalkan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian.
"Khatam hafazan bukanlah penamat, tetapi permulaan untuk terus menjaga dan menghidupkan al-Quran. Semoga hafazan kekal dalam ingatan, nilainya terpancar melalui akhlak dan ajarannya menjadi panduan sepanjang kehidupan.
"Harapan kami agar anak-anak terus cemerlang dalam akademik dan menjadi insan yang membawa manfaat kepada agama, masyarakat serta negara," katanya.