SPM semakin hampir, calon terima suntikan motivasi dan kalkulator

Iklan
50 kalkulator disumbangkan kepada SMK Kota Kemuning oleh ZAR Group of Companies sebagai sokongan buat calon SPM menghadapi peperiksaan dengan lebih bersedia.

Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal berlangsung pada 23 November ini, calon memerlukan persediaan akhir bukan sahaja dari segi akademik, malah kekuatan mental dan semangat untuk menghadapi setiap kertas peperiksaan.

Menyedari keperluan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning, Selangor menganjurkan Program Sinar TerPUJI menerusi Unit Bimbingan dan Kaunseling bagi memberikan suntikan motivasi kepada calon supaya lebih bersedia dan jelas dengan hala tuju masing-masing.

Iklan
Iklan

Program tersebut turut memberi peluang kepada pelajar mendapatkan inspirasi daripada individu berpengalaman yang boleh dijadikan contoh dalam perjalanan mengejar kejayaan.

Pengetua SMK Kota Kemuning, Rozhan Zakaria berkata, penganjuran program itu amat bertepatan dengan keperluan calon yang kini berada pada fasa akhir persediaan sebelum menduduki peperiksaan.

Iklan

Menurutnya, suntikan motivasi tersebut penting bagi membantu pelajar memahami matlamat yang ingin dicapai, selain memberikan dorongan untuk terus berusaha mendapatkan keputusan terbaik.

Iklan

"Pemilihan Pengerusi Eksekutif ZAR Group, Datuk Aspalela Ramly sebagai penyampai motivasi juga bersesuaian kerana pengalaman dan kejayaan tokoh berkenaan boleh dijadikan inspirasi kepada calon.

"Saya berharap perkongsian yang diberikan dapat membuka minda pelajar supaya lebih yakin dengan kemampuan diri serta mempunyai semangat untuk mencapai cita-cita," katanya kepada Sinar Bestari pada Khamis. 

Sumbangan kalkulator ringankan beban calon

Selain pengisian motivasi, Program Sinar TerPUJI turut menyaksikan sumbangan 50 kalkulator daripada ZAR Group of Companies kepada pihak sekolah bagi membantu calon membuat persediaan menghadapi peperiksaan, khususnya kertas Matematik.

Rozhan berkata, sumbangan itu amat bermakna kepada pelajar, terutama calon daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang memerlukan sokongan dari segi kelengkapan peperiksaan.

Menurutnya, bantuan tersebut bukan sahaja dapat meringankan beban pelajar dan keluarga, malah memastikan calon mempunyai peralatan yang diperlukan untuk menjawab soalan peperiksaan dengan lebih bersedia. 

Beliau turut berharap segala usaha dan sokongan yang diberikan menerusi program berkenaan dapat diterjemahkan kepada pencapaian lebih baik dalam SPM tahun ini.

"Pihak sekolah menyasarkan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) serta peratus Layak Mendapat Sijil (LMS), selain mahu melihat calon memperoleh keputusan yang cemerlang.

"Semoga calon-calon dapat memanfaatkan sepenuhnya persediaan dan dorongan yang diberikan untuk memberikan prestasi terbaik sekali gus mengharumkan nama sekolah," ujar beliau lagi.