Hari ini, banyak program berkaitan dengan al-Quran telah dijalankan untuk umat Islam sebagai mengimarahkan bulan Ramadan.
Program-program seperti majlis tadarus, khatam al-Quran dan ceramah sempena Nuzul Al-Quran telah diadakan dengan penyertaan ramai termasuklah pelajar sekolah dan mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT).
Terbaharu, program World #QuranHour kali ke-8 yang bertemakan Misi Surah Al-Insan: Memanusiakan Ummah yang diadakan hari ini di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menarik penyertaan ramai dalam kalangan umat Islam.
Tidak ketinggalan, sebilangan besar mahasiswa UIAM dan kumpulan pelajar dari Sekolah Agama Menengah Rawang (SAMER) hadir untuk menyertai World #QuranHour.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff, tema surah Al-Insan dipilih bertujuan menanamkan nilai memanusiawikan ummah dengan 11 karakter insan Al-Abrar (orang berkebajikan).
Katanya, 11 karakter Al-Abrar itu terdiri daripada amanah, takwa, infak, ikhlas, berorientasikan akhirat, teguh, sabar, kawalan diri, taat, bina jiwa dan syukur.
Sambung Marhaini, kempen gerakan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini bermula sejak 2015.
"World #QuranHour menjadi jenama terkenal untuk mempromosikan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam.
"Sejak pelaksanaannya pada 2016, kita telah mencapai 3.89 bilion capaian di media sosial dan berada di 313 lokasi di luar negara selain lebih 3,000 lokasi dalam negara.
"Kini, World ##QuranHour kembali diadakan secara fizikal di UIAM selepas tiga tahun diadakan dari Studio TVAlHijrah sebagai penyiar utama dan secara dalam talian di platform QuranHour dan Sinar Harian ketika musim pandemik Covid-19 sejak 2020,” ujarnya dengan menambah pogram berintekrasi dengan al-Quran ini dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia (MPAM), Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran, badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara serta penaja, Wardah dan Kahf.