Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) mewujudkan Pusat Akademik Antarabangsa di empat universiti di China dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
Naib Canselor UNITEN, Profesor Ir Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, Pusat Akademik Antarabangsa di Huanghe University; University Electronic Science and Technology China; Sichuan Jinjiang University dan Hubei University itu akan mengguna pakai silibus kurikulum UNITEN bermula September depan.
"Pusat Akademik Antarabangsa ini membuktikan China mengiktiraf kurikulum UNITEN yang memenuhi kehendak industri dan bertaraf antarabangsa.
"Selain itu, kebolehpasaran graduan UNITEN sebanyak 96.8 peratus memberi keyakinan kepada institusi pendidikan China untuk bekerjasama dengan lebih mendalam,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi UNITEN baru-baru ini.
Sementara itu, Presiden Sichuan Jinjiang University, Profesor Yan Shijing berkata, China komited dalam memastikan hubungan akademik antara UNITEN dan negara berkenaan berjalan secara berterusan.
"China akan mula menghantar pelajarnya untuk menyambung pengajian peringkat prasiswazah dan pascasiswazah di UNITEN dalam masa terdekat,” katanya.
UNITEN merupakan universiti pertama di Malaysia membuka pejabat luar pesisir di Pusat Perkhidmatan China bagi Pertukaran Ilmiah (CSCSE), Kementerian Pendidikan Republik Rakyat China serta di enam universiti terkemuka seperti Harvard University, University of Barcelona dan National University of Singapore.
Sebanyak 20 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara UNITEN dan 20 universiti di China pada Isnin lalu melibatkan kerjasama pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.
Inisiatif itu adalah berikutan daripada pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden China, Xi Jinping serta Perdana Menteri China, Li Qiang di Beijing, baru-baru ini.